Sukarelawan Projek Khidmat Bakti Siswa dan Kajian Pengetahuan, Sikap dan Amalan Penyakit Zoonotik Orang Asli 2025 terdiri daripada pelajar dan kakitangan Fakulti Perubatan dan Fakulti Sains Kesihatan Universiti Kebangsaan Malaysia.

MERSING – Seramai 374 penduduk Orang Asli di Kampung Peta, Mersing, Johor yang terletak berhampiran Taman Negara Endau-Rompin menerima manfaat daripada Projek Khidmat Bakti Siswa menerusi aktiviti pemeriksaan kesihatan, pengagihan bekalan makanan asas dari rumah ke rumah serta program pendidikan kesihatan.

Program selama tiga hari itu dilaksanakan oleh 40 sukarelawan yang terdiri daripada pelajar dan kakitangan Fakulti Perubatan dan Fakulti Sains Kesihatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan dijalankan serentak dengan Kajian Pengetahuan, Sikap dan Amalan (KAP) Penyakit Zoonotik Orang Asli 2025.

Kajian KAP tersebut memberi tumpuan kepada penyakit zoonotik seperti malaria dan filariasis, yang berisiko tinggi menular dalam komuniti akibat interaksi rapat antara manusia, haiwan dan persekitaran hutan.

Program ini dianjurkan dengan kerjasama Fakulti Perubatan UKM, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Malaysian One Health University Network (MyOHUN), Malaysia Relief Agency (MRA), dan Kesatuan Mahasiswa UKM (KMUKM) dengan tema ‘Becoming Agents of Change’.

Menurut ketua projek, Prof Madya Dr Azimatun Noor Aizuddin, program ini bertujuan bagi memperkasa mahasiswa untuk menjadi agen perubahan, khususnya dalam memperbaiki tahap kesihatan masyarakat orang asli di kawasan pedalaman.

“Melalui program ini, kami ingin mendekatkan mahasiswa kepada realiti sebenar masyarakat pedalaman serta membina kepekaan mereka terhadap faktor sosial yang mempengaruhi kesihatan.

“Khidmat masyarakat seperti ini penting untuk membentuk doktor masa depan yang bukan sahaja bijak merawat penyakit, tetapi juga memahami pesakit dari sudut budaya dan sosialnya.

“Penglibatan HCTM dalam program ini mencerminkan usaha berterusan institusi untuk menjangkau masyarakat yang kurang mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan menyeluruh,” katanya.

Sementara itu, Ketua pengarah projek, Ijlaal Zuhdi Hisham Zuhdi berkata, pengalaman ini menjadi platform penting untuk memperkasakan nilai profesionalisme perubatan dalam kalangan mahasiswa.

“Mahasiswa perlu memahami bahawa tugas seorang doktor bukan sekadar merawat penyakit, tetapi turut menilai dan menangani faktor-faktor sosial dan persekitaran yang mempengaruhi kesihatan pesakit,” katanya.

Tambahnya, Projek Khidmat Bakti Siswa dan Kajian KAP Penyakit Zoonotik Orang Asli 2025 diharap menjadi permulaan kepada usaha-usaha berterusan untuk memperkukuhkan hubungan akademik UKM dengan komuniti luar bandar, sekali gus memperluaskan lagi skop penyelidikan kesihatan di kalangan populasi terpinggir.

“Kejayaan misi ini menegaskan komitmen UKM dalam melahirkan graduan bukan sahaja berilmu tinggi, tetapi juga berjiwa rakyat dan mampu menjadi pemangkin perubahan positif dalam masyarakat,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here