KUANTAN – Seorang suri rumah rugi lebih RM100,000 dalam masa tiga hari selepas terpedaya sindiket tipu tawaran kerja tidak wujud di Temerloh baru-baru ini.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mangsa berumur 38 tahun pada mulanya menerima panggilan telefon mengatakan dia akan mendapat barangan percuma lampu solar pada 28 April lalu.
Menurutnya, mangsa dimasukkan ke dalam grup WhatsApp dan Telegram dengan tawaran pekerjaan di mana komisen setiap kerja diberi sebanyak RM2.50.
“Mangsa diberikan pautan untuk membuat tugasan dan menerima komisen RM4.80 apabila membayar RM30. Untuk menjadi ejen, mangsa perlu menang pertandingan sebanyak tiga kali selama tiga hari iaitu membuat pembayaran sebanyak RM200 ke akaun yang diberikan saspek dan telah mendapat bayaran semula RM260.
“Seterusnya pada 28 sehingga 30 April lalu, mangsa telah membuat 13 kali transaksi ke 10 akaun bank berbeza dengan jumlah RM136, 110,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Bagaimanapun selepas selesai bayaran, mangsa tidak mendapat apa-apa bayaran dan berasa tertipu lalu datang ke balai membuat aduan. – MalaysiaGazette