KUALA LUMPUR – Langkah terbaik sekiranya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mahu memperjuangkan agama, bangsa dan negara adalah dengan membubarkan parti tersebut.
Setiausaha Vereran UMNO Malaysia, Datuk Mustapha Yaakub berkata, pemimpin dan ahli Bersatu kemudiannya boleh menyertai UMNO semula secara en block (secara keseluruhannya).
Jelas beliau, pemimpin Bersatu boleh memanggil satu Perhimpunan Agung Khas bagi membubarkan parti itu sama seperti yang dipernah dilakukan Tengku Razaleigh Hamzah ketika membubarkan parti Semangat 46 suatu ketika dulu.
“Itulah cara yang terbaik kalau Bersatu mahu memperjuangkan agama, bangsa dan negara.
“Bukan berkerjasama dengan UMNO tetapi bersama dalam UMNO,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau mengulas mengenai kenyataan terbaharu Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang menegaskan parti itu terbuka untuk bekerjasama dengan UMNO.
Menerusi podcast yang dihoskan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Mohd Zaid Ibrahim yang disiarkan di YouTube baru-baru ini, Hamzah berkata, Bersatu dan UMNO berkongsi asas ideologi yang sama dan disebabkan itu, parti terbabit bersedia menjalinkan bekerjasama bagi mencapai misi yang sama.
Sementara itu, Mustapha berkata, kenyataan Hamzah tersebut meskipun berniat baik, namun membuktikan kebimbangan Bersatu berhubung nasib parti berkenaan bersama Pas dalam Perikatan Nasional (PN) yang retak menunggu belah.
Dakwanya, pemimpin Bersatu menyedari Pas berusaha untuk meyakinkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya parti itu diterima dalam Kerajaan Perpaduan.
“Bukan sekali, tapi sudah berkali-kali Pas telah menghantar ‘wakil-wakil’ mereka berjumpa PMX (Anwar) untuk tujuan itu,” dakwanya.
Tambah beliau, menyedari perkara itu, Bersatu menawarkan untuk bekerjasama dengan UMNO atas alasan dasar perjuangan UMNO dan Bersatu adalah sama iaitu untuk agama, bangsa dan negara.
“Kenyataan itu benar kerana Perlembagaan Bersatu adalah ‘copy paste‘ Perlembagaan UMNO.
“Malah seluruh kepimpinan dan ahli Bersatu adalah DNAnya UMNO,” katanya. – MalaysiaGazette