KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak akan mengambil tindakan undang-undang atau mengeluarkan notis saman terhadap hospital dan farmasi yang belum mempamerkan harga ubat dalam tempoh tiga bulan pertama pelaksanaan Perintah Pemaparan Harga Ubat.
Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Farmasi) KKM, Dr Azuana Ramli menjelaskan, pelaksanaan Perintah Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (Penandaan Harga Ubat) 2025 yang bermula semalam, 1 Mei 2025 akan memberi tumpuan kepada aspek pendidikan dan kesedaran terlebih dahulu.
“Tempoh tiga bulan tersebut merupakan fasa penguatkuasaan pendidikan di mana tiada sebarang saman akan dikeluarkan.
“Sebaliknya, penguat kuasa KKM akan memberi panduan dan nasihat kepada klinik, hospital dan farmasi bagi membantu pemahaman serta pelaksanaan perintah ini dengan lebih berkesan,” katanya dalam sesi taklimat Inisiatif Pemaparan Harga Ubat di Putrajaya, hari ini.
Menurutnya, fasa ini juga menjadi peluang untuk KKM menjalankan advokasi dan melihat bagaimana arahan itu diterjemah dalam amalan di peringkat pelaksana.
Perintah tersebut bertujuan meningkatkan ketelusan harga ubat kepada pengguna serta memastikan amalan penetapan harga yang adil dalam sektor kesihatan.
“Selepas tempoh tiga bulan itu berakhir, kerajaan akan menilai semula tahap pelaksanaan perintah berkenaan dan mempertimbangkan sama ada tempoh pendidikan perlu dilanjutkan atau beralih terus ke fasa penguatkuasaan penuh.
“Sekiranya masih terdapat kekeliruan dalam kalangan pemain industri atau orang ramai, KKM akan mengemas kini dokumen Soalan Lazim (FAQ) berdasarkan maklum balas yang diterima,” tambahnya.
Hanya selepas fasa ini berakhir dan pihak terlibat masih gagal mematuhi perintah tersebut, barulah tindakan undang-undang akan diambil oleh pihak berkuasa.
Perintah pemaparan harga ubat ini bertujuan untuk meningkatkan ketelusan harga ubat kepada pengguna serta memastikan amalan penetapan harga yang adil dalam sektor kesihatan.
Ia juga sebagai satu langkah untuk meningkatkan akses rakyat kepada maklumat harga ubat-ubatan agar mereka boleh mendapatkan bekalan ubat dengan harga lebih kompetitif, mengetahui jumlah bayaran yang perlu dibuat dan mampu membuat pilihan berdasarkan kemampuan masing-masing.
Pengguna kini boleh melihat harga ubat dengan lebih jelas sebelum membeli, sekali gus dapat mengelakkan sebarang caj tersembunyi atau harga yang melampau.
Usaha ini turut memperkasakan rakyat dengan pilihan bermaklumat melalui kebolehan untuk membuat perbandingan dan memilih harga yang terbaik dalam merancang penjagaan kesihatan mereka. – MalaysiaGazette