Dr Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Tun Dr. Mahathir Mohamad menasihati anak muda Melayu agar lebih berhati-hati dan perlu fikir mendalam sebelum menerima hakikat bahawa Malaysia boleh dikuasai oleh bukan Melayu.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, walaupun kebanyakan anak muda Melayu berpandangan bukan Melayu juga berhak untuk memerintah, namun kenyataan itu perlu dilihat daripada sudut realiti sosial dan sejarah beradaban negara.

“Kata mereka bukan Melayu di Malaysia adalah juga rakyat Malaysia. Jika orang Melayu sebagai rakyat Malaysia boleh berkuasa di negara ini, bukan Melayu sebagai rakyat negara ini juga berhak untuk berkuasa seperti orang Melayu.

“Tetapi majoriti bukan Melayu ini tidak bersikap sepenuhnya sebagai rakyat negara ini seperti kita. Mereka terus mengenal diri mereka sebagai berasal dari negara asal mereka.

“Tetapi majoriti bukan Melayu ini tidak bersikap sepenuhnya sebagai rakyat negara ini seperti kita. Mereka terus mengenal diri mereka sebagai berasal dari negara asal mereka. Bahasa, budaya, persekolahan bahkan parti politik mereka juga dikaitkan dengan negara asal mereka,” kata Dr Mahathir dalam kenyataannya hari ini.

Berbeza dengan kaum Melayu yang sanggup terima dan sudah pun terima pendatang asing dari banyak negara yang telah putus segala hubungan dengan negara asal mereka.

Bahkan, bahasa, budaya, sekolah dan politik mereka tidak terasing dari kita.

Sebaliknya, kata beliau, rakyat bukan Melayu sekarang tidak terima kita orang Melayu sebagai sebangsa dengan mereka.

Organisasi mereka termasuk parti politik tidak terima kaum Melayu.

“Diskriminasi mereka terhadap kita jelas dalam syarikat dan perusahaan mereka. Mereka terasing dari kita secara fizikal dan mental.

“Sudah ternampak bibit-bibit sikap diskriminasi terhadap kita apabila mereka mendominasi ekonomi. Sudah tentu apabila mereka berkuasa penuh sebagai kerajaan, dasar mereka ialah meritokrasi yang akan menguntungkan mereka.

“Dasar Ekonomi Baru yang mengandungi affirmative action akan digugur,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebab inilah maka sikap anak Melayu muda yang sanggup terima baik kemungkinan Malaysia dikuasai bahkan dimiliki oleh bukan Melayu tidak boleh diterima, tambah Dr Mahathir.

Sebaliknya, selama kita merdeka hampir 70 tahun orang Melayu apabila berkuasa sanggup berkongsi dengan bukan Melayu, walaupun yang mengekal identiti mereka dengan negara asal mereka.

Dan di zaman itu kejayaan bukan Melayu lebih besar dari orang Melayu kerana Dasar Ekonomi Baru tidak menghalang pembangunan dan kejayaan bukan Melayu.

Orang Melayu, katanya, tidak tuntut kuasa hanya dibolot oleh mereka sahaja.

Menuru beliau lagi, setiap kali mereka mendominasi kerajaan, mereka memberi tempat kepada bukan Melayu dalam kerajaan.

“Kita hargai sumbangan bukan Melayu kepada pembangunan negara. Tetapi sumbangan mereka sudah memberi pulangan yang besar kepada mereka.

“Kita terima kerakyatan bukan Melayu. Tetapi tidaklah sampai ke tahap negara dikuasai dan dimiliki oleh rakyat yang masih kuat ikatan mereka dengan negara asal mereka.

Pada Disember 2023, Mahathir pernah mengeluarkan kenyataan yang mana bukan Melayu boleh menjadi Perdana Menteri jika majoriti orang Melayu boleh menerima keadaan sedemikian.

Malah katanya, biarpun Perlembagaan Persekutuan tidak menetapkan seseorang Perdana Menteri dari bangsa apa, namun dinamik kaum di Malaysia akan menentukan jawatan utama kerajaan itu diterajui oleh kaum mana. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here