KUALA LUMPUR – Hidup ini tidak lekang dengan ujian.
Ada yang diuji dengan kesempitan harta benda, jodoh lambat, belum dikurniakan zuriat walaupun menanti sejak sekian lama dan tidak kurang ada yang ditarik nikmat kesihatan.
Begitulah lumrah kehidupan yang menguji sejauh mana kekuatan insan itu saat dilanda masalah dan ada yang mampu bertahan hingga menganggapnya sebagai satu nikmat.
Bagi pendakwah bebas, Ustaz Dr. Mohd Ashraf Suarin, 43, dia yang disahkan menghidap pinggang tahap tahap empat kronik pada penghujung tahun lalu mengakui pada mulanya rasa sedih dan ia memberi tamparan hebat buatnya.
Apatah lagi sebagai Pengetua Pondok Motivasi Hamlatul Quran (PMHQ), dia perlu memberi perhatian kepada pelajarnya untuk memberi didikan al-Quran selain mencari dana sehingga RM30,000 sebulan untuk menampung kos operasi.
Namun bapa kepada tiga anak itu akhirnya reda dengan ujian itu untuk menerus mencari saham akhirat kerana bersyukur masih dijemput Allah setiap tahun sebagai petugas haji di Mekah.
Mohd. Ashraf percaya sakit yang dihadapi menjadi satu nikmat selain doa daripada pelajarnya yang terdiri daripada anak yatim dan asnaf yang telah memberi banyak rezeki kepadanya tanpa disangka.
“Diuji dengan sakit saya tetap kena terus untuk saham akhirat dan saya bersyukur tiap-tiap tahun Allah jemput saya tunai haji sebagai petugas. Saya percaya rezeki doa daripada anak-anak ini kalau mati anak Adam akan tinggal segala perkara kecuali tiga antaranya doa anak-anak yatim yang kita beri nafkah.
“Walaupun tidak sihat, ini amanah kena teruskan biarpun buah pinggang perlu melalui proses dialisis sebanyak tiga kali seminggu
“Ujian ini saya anggap Allah hendak proses dosa saya dan kifarahkannya dan saya anggap biarlah di dunia ini selesai dan tidak ditangguhkan di akhirat,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette baru-baru ini.

Mohd. Ashraf yang juga pendakwah selebriti popular di TikTok ketika ini menguruskan PMHQ yang bertapak di Tanjung Karang sejak 2013 di mana pondok itu terbuka kepada remaja serta kanak-kanak yang mempunyai keinginan untuk mendalami al-Quran.
Selain memberi pendekatan dan memupuk kecintaan kepada al-Quran, PMHQ turut menjaga kebajikan seramai 30 anak-anak yatim, anak golongan asnaf serta memberikan perlindungan kepada mereka yang terbiar.
Mereka diterima belajar tanpa mengira latar belakang sosial dan kemampuan ekonomi untuk meningkatkan jati diri dan memberi manfaat kepada masyarakat.
Sehingga kini, ada alumni PMHQ telah berjaya menyambung pelajaran di universiti hingga ke Madinah selain memperolehi keputusan 5A pada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 baru-baru.
Mengulas lanjut, Mohd Ashraf turut mengakui menerima ujian dengan hati terbuka dan menganggap apabila sakit, ia bukan waktu untuk meratap dan merintih tetapi satu proses mendekatkan diri dengan Allah.

“Nikmat sakit ini banyak antaranya ia ajar kita tentang erti syukur dan tawakal. Bila sakit kemampuan terbatas dan serah kepada Allah kerana rezeki kita pun Allah sudah diatur-Nya.
“Kita kena fikir hidup ini tidak lama dan ada yang lama ketika tinggal di kubur dan jadi kita perlu siapkan bekalan hari ini ke sana. Contohnya orang dalam kubur sudah mati lebih lama dia di dunia. Jadi kena sabar, reda dan muhasabah diri kerana ujian sakit ini sakit sikit sangat,” kata bekas kakitangan di pejebat agama ini.
Sementara itu, Mohd. Ashraf turut mengambil inisiatif menjual beras dan produk Muslim untuk menampung PMHQ yang diasuh menjadi penghafaz al-Quran.
Antara usaha murni dengan menjual paket beras tempatan menggunakan jenama ‘Ashraffi’ di mana perniagaan itu turut digunakan untuk membantu golongan asnaf di rumah-rumah kebajikan dan rumah orang tua.
“Kami juga menerima sumbangan orang ramai tetap selalu berserah kepada Allah untuk mencari dana RM20,000 hingga RM30,000 sebulan untuk bayar gaji kerana pembayaran masih tidak membantu menampung kos operasi,” katanya. – MalaysiaGazette
