Sukarelawan UM bergambar kenangan bersama peserta SPARK.

KUALA LUMPUR – Seramai 20 pelajar dari Kolej Kediaman Tuanku Abdul Rahman Universiti Malaya (UM)  telah menjayakan  program sukarelawan komuniti dengan memberi fokus kepada Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) untuk anak-anak Orang Asli Temuan di Kampung Bukit Lanjan, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Pengarah Projek, Nur Afifah Ahmad Damanhuri berkata, Projek Semarak Prihatin ASTAR untuk Komuniti (SPARK) ini  memfokuskan kepada interaksi bersama golongan yang sering terpinggir dalam masyarakat.

Bertempat di Dewan Sri Temuan, program ini telah menghimpunkan kira-kira 100 peserta dari komuniti Orang Asli Bukit Lanjan.

Kemuncak program adalah Bengkel “STEM Warisan” yang dilaksanakan secara interaktif dan menyeronokkan.

Bengkel ini memperkenalkan konsep fizik melalui tiga demonstrasi berasaskan Hukum Newton.

Setiap demonstrasi dikendalikan oleh pasangan fasilitator terlatih dari kalangan pelajar universiti.

Program diteruskan dengan satu aktiviti eksplorasi iaitu eksperimen gunung berapi dengan para peserta dibahagikan kepada lima kumpulan yang diketuai fasilitator.

Menggunakan bahan mudah seperti tanah liat, cuka dan serbuk penaik, setiap kumpulan membina gunung berapi mini dan menyaksikan letusan yang terhasil daripada tindak balas kimia.

Aktiviti ini bukan sahaja mendidik, malah memupuk semangat kerjasama dan rasa ingin tahu dalam kalangan kanak-kanak.

Eksperimen ini menggabungkan unsur seni dan sains, menjadikan proses pembelajaran lebih kreatif dan bermakna.

Ia membolehkan peserta memahami fenomena geologi dalam suasana yang santai dan menyeronokkan, sesuai dengan pendekatan pendidikan abad ke-21 yang menekankan aspek pengalaman secara langsung.

Kampung Bukit Lanjan merupakan penempatan masyarakat Orang Asli Temuan yang kini dikenali sebagai Desa Temuan didiami kira-kira 120 buah keluarga.

Menariknya, kampung ini telah berubah daripada gaya hidup nomad kepada komuniti perbandaran hasil inisiatif kerajaan.

Rumah moden berkeluasan 7,000 kaki persegi kini menggantikan pondok hutan, namun nilai budaya dan warisan tetap terpelihara dalam kehidupan seharian mereka.

Ketua Kampung Bukit Lanjan, Encik Muhd Reza Khan Zar Khan, menyambut baik inisiatif pelajar UM dan merakamkan penghargaan kepada seluruh pasukan SPARK atas pendekatan mesra komuniti dan program yang bersifat pendidikan serta
memperkasa masa depan anak-anak kampung. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here