KUALA LUMPUR – UMNO tidak berkompromi dengan isu melibatkan agama, bangsa, Raja-Raja Melayu termasuk dengan siapa parti itu berkawan.
Dalam masa yang sama, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh menegaska, parti itu tidak pernah menyuarakan hanya yang retorik tentang isu-isu tersebut.
“UMNO tidak pernah beretorik mengenai agenda agama, bangsa dan Raja-Raja Melayu bukan seperti pemikiran kamu yang hanya menunggang untuk meraih undi.
“Bagi kami, tiada kompromi mengenai agama, bangsa dan Raja-Raja Melayu waima dengan siapa pun kami berkawan. Dan itu bezanya UMNO dengan parti lain,” katanya menerusi Facebook.
Beliau berkata demikian sebagai respon terhadap kenyataan Parti Bersatu Untuk Hak Rakyat Malaysia (Urimai), P Ramasamy bahawa agenda UMNO mengakibatkan prestasi sekutu mereka, MCA dan MIC merosot.
Ramasamy turut menyifatkan UMNO sebagai tidak jujur dengan menganggap parti terbesar orang Melayu itu ‘lepas tangan’ terhadap kemelut yang dihadapi rakan sekutu mereka.
Malah menurut Ramasamy, UMNO secara jelas telah menghakis pengaruh sekutunya dalam kalangan kaum lain.
Dalam pada itu, Dr Akmal turut menempelak Ramasamy sekiranya enggan menghormati isu agama Islam dan kaum Melayu yang diperjuangkan UMNO kerana ia termaktub dalam Perlembagaan.
“Jika mempertahankan Islam dan Melayu yang termaktub di dalam Perlembagaan yang menyebabkan kamu tidak mahu menyokong UMNO, silakan kami pun tidak kisah!
“Ini negara yang agama persekutuannya adalah agama Islam dan hak-hak orang Melayu termaktub di dalam perlembagaannya maka tolong hormat perkara tersebut sebelum mahu kami hormat kamu!” tegasnya.- MalaysiaGazette