Usanita Entertainment juga melantik pengarah dan penerbit terkenal, Erma Fatima sebagai Channel Advisor.

KUALA LUMPUR – Usanita Sdn. Bhd. menerusi cabang perniagaannya, Usanita Entertainment terus melakar langkah berani dalam industri hiburan digital apabila memperkenalkan UTV iaitu sebuah platform penstriman (OTT) baharu yang bakal menemui penonton tempatan dan serantau tidak lama lagi.

Dijangka dilancarkan secara rasmi hujung bulan ini, UTV hadir dengan tagline Stream For You menawarkan pengalaman hiburan yang bersifat peribadi, inklusif dan menyentuh emosi selari dengan identiti masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa.

UTV bukan sekadar sebuah platform penstriman biasa malah ia diilhamkan sebagai ruang untuk meraikan suara autentik, kisah bermakna dan karya asli terutamanya dari bakat tempatan termasuk memperkasakan penyertaan wanita dalam industri hiburan tanah air.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Sdn Bhd, Datuk Adzliana Hasan, UTV lahir daripada keinginan untuk menyediakan pentas digital yang memberi peluang kepada lebih ramai penggiat seni dan pembikin kandungan Malaysia untuk berkembang serta mengetengahkan karya mereka kepada khalayak yang lebih luas.

“Idea penubuhan UTV ini tercetus kerana kami melihat ruang yang sangat besar dalam pasaran untuk kandungan tempatan yang berani, asli dan menyentuh hati.

“Kami percaya Malaysia kaya dengan bakat dan kisah yang mampu memberi inspirasi, bukan sahaja kepada penonton tempatan malah di peringkat serantau.

“Dengan UTV, kami ingin mencipta sebuah platform yang bukan sahaja menayangkan kandungan tetapi juga mendidik, menyatukan dan memperkasakan suara rakyat Malaysia terutama golongan wanita agar mereka mendapat tempat yang sewajarnya dalam industri hiburan digital,” katanya dalam satu kenyataan.

UTV bakal menawarkan pelbagai kandungan premium termasuk drama bersiri tempatan, telefilem, filem asli, dokumentari, bual bicara serta kandungan gaya hidup dan belia yang relevan dengan citarasa generasi digital hari ini.

Lebih istimewa, Usanita Entertainment juga melantik pengarah dan penerbit filem terkenal, Erma Fatima sebagai Penasihat Saluran bagi memastikan kualiti setiap produksi UTV menepati standard terbaik dan berdaya saing.

Selain pengumuman mengenai UTV, Usanita Entertainment turut mengumumkan dua persembahan istimewa eksklusif di bawah kerjasama Usanita Entertainment x Mask Team yang bakal berlangsung di NERO Event Space, Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC).

Persembahan pertama bertajuk An Evening With Nadeera Zaini akan diadakan pada 30 Mei ini manakala persembahan kedua, Hael Husaini Antonim Night dijadualkan sehari kemudian

Kedua-dua acara itu akan bermula pukul 8.30 hingga 10.30 malam menjanjikan persembahan muzik yang penuh keistimewaan serta emosi bersama artis-artis tempatan berbakat besar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here