KUALA LUMPUR – AirAsia X Bhd (AAX) akan menggantung penerbangannya dari Kuala Lumpur ke Nairobi, Kenya, bermula 1 September, 2025 sebagai sebahagian daripada inisiatif pengoptimuman rangkaiannya disebabkan permintaan yang lebih rendah daripada jangkaan.
Syarikat penerbangan kos rendah jarak jauh itu berkata, ia telah memaklumkan kepada semua penumpang yang terjejas seawal mungkin mengenai pilihan pemulihan perkhidmatan (SRO) untuk tempahan laluan itu bagi penerbangan bermula 1 September, 2025 dan seterusnya.
“SRO ini termasuk bayaran balik secara penuh, akaun kredit atau pertukaran penerbangan tanpa caj untuk perjalanan sebelum 31 Ogos, 2025 – bertujuan membantu pelanggan mengatur semula penerbangan alternatif,” kata syarikat penerbangan itu melalui platform AirAsia MOVE hari ini.
AAX menambah pihaknya akan terus menilai rangkaian dan permintaan pengguna, dan akan membuat penyesuaian dari semasa ke semasa bagi memastikan daya maju komersial serta menawarkan tambang terbaik merentas rangkaiannya.
Syarikat penerbangan itu melancarkan penerbangan sulung secara terus dari Kuala Lumpur ke Nairobi pada 15 November, 2024, menandakan kemasukannya ke rantau Afrika Timur.
Laluan berkenaan kini beroperasi empat kali seminggu dan kekal sebagai satu-satunya perjalanan udara antara Malaysia dan Afrika. – Bernama