Terdapat dua persoalan besar yang perlu dijawab oleh Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah), Faiz Fadzil, berhubung dakwaannya bahawa Allahyarham Datuk Fadzil Noor tidak menjadikan isu perkauman sebagai modal politik sepanjang hayat perjuangannya.
Faiz, yang juga anak kepada bekas Presiden Pas itu, perlu meneliti semula sejarah dan asas perjuangan sebenar ayahandanya sebelum terus menggunakan nama besar Allahyarham untuk mengabsahkan pendirian politik Amanah hari ini.
Hakikatnya, Allahyarham Datuk Fadzil Noor pernah menekankan soal perpaduan nasional dalam ucapan beliau sebagai tindak balas terhadap gagasan ‘perpaduan Melayu’ yang diangkat oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sekitar tahun 2001.
Namun begitu, perjuangan Allahyarham bukan semata-mata perpaduan nasional, tetapi turut berteraskan penegakan negara Islam dan pelaksanaan syariat Islam secara mutlak. Prinsip ini jelas terpancar dalam amanat terakhir beliau dalam Ucapan Dasar Muktamar Tahunan Pas ke-48 pada 31 Mei 2002:
“Agenda perlaksanaan syariat adalah agenda terpaling mulia dan maha besar yang perlu disegerakan oleh seluruh pimpinan negara ini. Ia adalah ibadah dan jihad yang paling awal yang perlu didepani oleh seluruh umat ini.”
Persoalannya kini – apakah Amanah berani mengangkat agenda pelaksanaan syariat sebagai keutamaan perjuangan sebagaimana yang dilaungkan oleh Datuk Fadzil Noor?
Lebih penting, Allahyarham Fadzil Noor kekal menentang UMNO sehingga ke akhir hayatnya atas kegagalan parti itu melaksanakan syariat Islam. Beliau secara terang menyifatkan keengganan UMNO sebagai satu “dosa politik yang tidak terampun”.
“Kalau ada yang berdolak-dalik memberi pelbagai alasan kerana masyarakat tidak bersedia, inilah kesalahan dan dosa UMNO untuk sekian lamanya yang tidak boleh dimaafkan,” tegas Allahyarham dalam ucapan dasar terakhir beliau.
Maka, timbul persoalan – bagaimana Faiz Fadzil dan Amanah kini boleh bersekutu dengan UMNO, satu tindakan yang jelas bercanggah dengan prinsip perjuangan ayahandanya?
Tambahan pula, Datuk Fadzil Noor secara terbuka menyatakan iltizam untuk menubuhkan negara Islam dalam Muktamar Pas ke-47 pada tahun 2001, walaupun menyedari risiko kehilangan sokongan bukan Melayu dalam Barisan Alternatif (BA) ketika itu.
Malah, ketegasan Pas mempertahankan prinsip itu di bawah pimpinan Allahyarham menyebabkan DAP menarik diri dari BA selepas pertembungan pendirian mengenai negara Islam. Dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Harian Pas Pusat pada 7 Julai 2001 yang dipengerusikan oleh Datuk Fadzil sendiri, keputusan jelas diambil:
“Pas tidak akan mengorbankan prinsip perjuangan dan undur ke belakang semata-mata untuk melayan kehendak parti DAP.”
Ekoran pendirian itu, DAP akhirnya keluar dari BA pada 22 September 2001 dan sehingga Allahyarham meninggal dunia pada 23 Jun 2002, PAS dan DAP tidak lagi bekerjasama politik.
Namun kini, AMANAH – parti yang dipimpin oleh Faiz – kembali bekerjasama rapat dengan DAP. Maka, satu lagi persoalan timbul – adakah DAP kini bersetuju sepenuhnya dengan penubuhan negara Islam dan pelaksanaan syariat seperti yang diperjuangkan oleh Datuk Fadzil Noor?
Jika tidak, Faiz Fadzil harus menjelaskan apakah justifikasi beliau untuk mendakwa bahawa Amanah adalah kesinambungan perjuangan ayahandanya.
Sekiranya gagal memberikan jawapan yang jujur dan jelas, maka lebih wajar beliau tidak mempergunakan nama Allahyarham Datuk Fadzil Noor bagi mengabsahkan hala tuju politik yang nyata berbeza.
Oleh Dr. Mukhtaruddin Musa
Penulias adalah Pengarah Urusan Yayasan Strategik Lestari (YSL)