KUALA LUMPUR – Projek pembinaan laluan jalan raya bagi menghubungkan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, Kedah ke Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao di Thailand telah siap 47 peratus, setakat 29 April lalu.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, projek berkenaan dijadual siap pada September 2025.
“Saya telah mengarahkan pihak pengurus projek, JKR Malaysia, JKR Negeri dan pihak kontraktor berganding bahu dan meneruskan sinergi bagi menyiapkan projek ini mengikut spesifikasi kualiti, kos dan masa yang ditetapkan selaras dengan sasaran ke arah sifar projek sakit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, projek pembinaan jalan raya itu merupakan milik Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan agensi pelaksana adalah Cawangan Jalan, Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia dengan harga kontrak asal bernilai RM141.57 juta.
Katanya, tarikh milik tapak projek ini adalah pada 21 Jun 2024 dan dijadualkan siap pada September tahun ini.
Alexander menambah, hari ini beliau sendiri turun padang bagi meninjau perkembangan kemajuan projek pembinaan berkenaan yang merupakan sebahagian daripada program Madani Bekerja.
Katanya, skop utama projek tersebut merangkumi pembinaan Jalan berkembar enam Lorong, dua hala dengan piawaian JKR U5 sepanjang 900 meter.
Beliau menjelaskan, projek itu turut meliputi pembinaan jalan perkhidmatan piawaian JKR R5 sepanjang 300 meter ke Markas Taktikal PGA Bukit Kayu Hitam dan kerja perobohan bangunan serta fasiliti lama bagi menggantikan dengan bangunan baharu Kem Batalion Ke-5 Rejimen, Sempadan Bukit Kayu Hitam, Perlis sebanyak 10 blok bangunan
Projek itu juga kata beliau termasuk pembinaan bangunan pos kawalan akhir dan pintu gerbang berbumbung.
Projek jajaran jalan yang menghubungkan kemudahan ICQS Bukit Kayu Hitam dengan CIQ Sadao di Thailand dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir tahun ini.
Ia penting untuk menjadikan kawasan di utara semenanjung dan selatan Thailand sebagai kawasan pertumbuhan, pembangunan dan kegiatan ekonomi yang memanfaatkan rakyat kedua-dua negara.
Pada 2023, Thailand adalah rakan dagang keenam terbesar Malaysia di peringkat global dan kedua terbesar dalam kalangan negara ASEAN, dengan jumlah dagangan bernilai AS$24.83 bilion (RM113.16 bilion). – MalaysiaGazette