BERA – Seorang lelaki menemukan rangka dan tengkorak manusia di belakang sebuah rumah di Felda Bukit Mendi, di sini ketika membersihkan semak-samun pada semalam.
Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Zulkiflee Nazir berkata pada mulanya pengadu berkenaan menyangka penemuan itu hanya sekadar patung namun setelah diteliti ianya benar-benar rangka manusia.
Menurutnya siasatan awal mendapati rangka manusia tersebut berada kira-kira 100 meter daripada sebuah rumah penduduk Felda Bukit Mendi.
“Pengadu mulanya was-was sama ada rangka yang ditemui adalah patung atau manusia sebelum menceritakan kepada rakannya dan mengambil keputusan membuat laporan polis.
“Rangka manusia itu dijumpai di kawasan semak samun dan dalam keadaan berselerak dengan pakaian seperti baju, seluar, jaket mangsa juga telefon dijumpai di sekitar kawasan tersebut.
”Kawasan tempat kejadian merupakan kawasan tanah rizab Felda dan kawasan berpaya dan pengadu pada ketika itu membersihkan kawasan tersebut dengan kaedah meracun,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Susulan itu siasatan lanjut dijalankan dan rangka berkenaan telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Bera untuk pengesahan DNA bagi mengenal pasti identiti mangsa.
Jelasnya siasatan masih dilakukan bagi menentukan sama ada rangka yang ditemui mempunyai kaitan dengan laporan kes Orang Hilang melibatkan seorang lelaki berusia 48 tahun.
”Setakat ini keluarga terdekat mangsa yang dilaporkan hilang menyatakan baju yang ditemukan berhampiran rangka berkenaan adalah milik mangsa.
“Kita rujuk kepada pihak hospital untuk pengesahan identiti dan dapatkan punca kematian untuk siasatan lanjut,” katanya.
Terdahulu katanya pihak polis menerima satu laporan berkaitan orang hilang di Felda Bukit Mendi pada Julai tahun lalu. – MalaysiaGazette