KUALA LUMPUR – Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menjelaskan keputusan badan bebas First Instance Body (FIB) melanjutkan tempoh permohonan Lesen Kebangsaan berdasarkan peruntukan yang termaktub dalam Peraturan Pelesenan Kelab MFL Edisi 2024-2025.
MFL dalam kenyataan berkata, FIB mengambil maklum kenyataan yang dikongsikan oleh kelab Liga Super menerusi media sosial baru-baru ini berkenaan tarikh akhir penyerahan dokumen Pelesenan Kelab untuk kitaran 2024-2025 bagi Lesen Kebangsaan.
“Jawatankuasa FIB menghargai komitmen kelab-kelab yang telah melengkapkan proses memuatnaik dokumen sebelum atau pada 30 April 2025 dalam sistem pelesenan AFC CLAS dan mematuhi tarikh akhir asal yang ditetapkan.
“Namun begitu, atas permohonan daripada beberapa kelab yang dikemukakan secara bertulis, pihak FIB pertimbangkan permohonan lanjutan tarikh akhir selewat-lewatnya sebelum atau pada 30 April 2025.
“Keputusan lanjutan ini dibuat berdasarkan kuasa yang diperuntukkan kepada FIB di bawah Peraturan Pelesenan Kelab MFL Edisi 2024, Artikel 7, 8 (a), yang menyatakan bahawa “The decision-making bodies must operate according to the principles of natural justice and must as a minimum regulate the following standards: deadlines (e.g. submission deadline, etc.); serta mengambil kira keadaan khusus bagi setiap permohonan dan kes yang dikemukakan,” jelas MFL.
Terdahulu, Penang FC ‘menegur’ tindakan Jawatankuasa FIB yang melanjutkan tarikh akhir bagi memuat naik dokumen pelesenan kelab untuk kitaran 2024–2025.
Menghargai keprihatinan dan fleksibiliti yang diberikan oleh FIB dalam mempertimbangkan cabaran yang dihadapi oleh kelab tertentu, Penang FC bagaimanapun menyuarakan kebimbangan terhadap potensi kesan negatif sekiranya lanjutan seperti itu dijadikan kelaziman.
Pengurusan Penang FC dalam kenyataan rasmi menyifatkan kelonggaran diberikan itu boleh menyebabkan kelab yang menghadapi masalah kewangan menangguhkan langkah penstrukturan atau penyelesaian yang sepatutnya diambil dengan segera. – MalaysiaGazette