Oh Tong Keong.

GEORGE TOWN – Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) menggesa kerajaan dan pihak swasta agar memperkukuh keselamatan serta keselesaan tempat kerja demi memastikan kebajikan dan hak pekerja sentiasa terpelihara.

Timbalan Presidennya, Oh Tong Keong berkata, langkah itu penting bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini selain meningkatkan produktiviti serta keberkesanan tenaga kerja negara.

Jelas beliau, semua pihak harus menilai semula persekitaran kerja dan mengambil tindakan yang proaktif demi kesejahteraan pekerja secara menyeluruh.

“Walaupun kerajaan telah menaikkan gaji penjawat awam dengan kadar besar hujung tahun lalu serta menaikkan gaji minimum kepada RM1,700 bermula 1 Februari lalu, namun majoriti pekerja sektor swasta masih belum menikmati kenaikan gaji yang setimpal,” katanya dalam kenyataan media di sini.

Tambah beliau, kenaikan kos sara hidup akibat inflasi, caj utiliti serta pelbagai cukai telah meningkatkan tekanan hidup rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah yang semakin terhimpit.

“Sehubungan itu, kita mencadangkan agar kerajaan menggubal dasar yang mampu mengawal kenaikan harga barang dan dalam masa sama memperkenalkan bantuan serta subsidi kepada golongan memerlukan bagi memastikan mereka dapat hidup dalam keadaan stabil dan bermaruah.

“Syarikat perlu diberikan galakan untuk melaksanakan dasar mesra pekerja seperti sistem kerja anjal, kemudahan penjagaan anak dan sokongan kesihatan mental di tempat kerja bagi mewujudkan budaya kerja yang lebih berperikemanusiaan.

“Ini kerana pekerja merupakan aset paling bernilai kepada negara dan syarikat, justeru sumbangan mereka wajar dihargai secara berterusan menerusi perlindungan dan ganjaran yang sewajarnya serta mewujudkan suasana pekerjaan yang adil, saksama dan setara pada masa depan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here