Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden bercakap pada sidang media mengenai bantahan terhadap RUU Pembangunan Semula Bandar (PSB) di Pejabat Agung PAS, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 03 MEI 2025

KUALA LUMPUR – Pas menyifatkan langkah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang menjemput Ahli-Ahli Dewan Negara dan Dewan Rakyat khususnya pembangkang untuk sama-sama melihat ke tapak-tapak flat usang sebagai satu optik politik kerajaan Madani.

Ini kerana, usaha itu sedikitpun tidak menjawab mengapa rakyat atau penduduk membantah Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU PSB) yang dicadangkan Menteri KPKT, Nga Kor Ming, kata Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden.

Beliau mempersoalkan adakah dengan membawa ahli-ahli Parlimen pembangkang melawat flat-flat usang boleh menjawab nilai ambang peratusan persetujuan pemilik hartanah.

“Jadi, setakat bawa melawat flat itu macam lawatan sekolah begitu saja. Tak akan dia nak samakan ahli Parlimen dengan pelajar sekolah?

“Kenapa tak bawa ke tempat-tempat yang lebih daif dan teruk?

“Kenapa tak bawa melawat kampung-kampung yang lebih memerlukan pembangunan?

“Jadi, kenapa hanya pilih satu dua tempat saja?” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Pas, di sini, hari ini.

Afnan Hamimi berkata demikian ketika ditanya langkah Kor Ming yang menyelar tindakan ahli Parlimen pembangkang yang tidak menghadiri lawatan kajian khas bagi meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan RUU berkenaan, baru-baru ini.

Menurut laporan, Kor Ming berkata, ketidakhadiran wakil pembangkang terutama daripada Perikatan Nasional (PN) amat mengecewakan, memandangkan jemputan rasmi telah dikeluarkan dan mereka sebelum ini bersetuju untuk hadir.

Lawatan yang disertai lapan ahli Parlimen dan sembilan ahli Dewan Negara itu melibatkan tinjauan ke dua flat uzur serta dua projek pembaharuan semula di ibu kota yang berjaya membangunkan semula kawasan perumahan usang menjadi kediaman moden dan berdaya huni.

Mengulas lanjut, Afnan Hamimi berkata, pembangkang membuat pendirian untuk tidak bersama dalam lawatan itu kerana pada pandangan mereka lawatan itu hanya sekadar kosmetik.

“Nak cerita bangunan usang, yang buruk dan teruk, sebelum ini banyak saja bangunan yang usang  dan kerajaan boleh saja baiki bangunan itu dan tidak ada masalah pun diperingkat negeri atau persekutuan.

“Perkara-perkara itu telah pun dan sedang diatasi,” ujarnya.

Dalam pada itu beliau menegaskan, Pemuda Pas akan mengadakan satu himpunan aman secara besar-besaran untuk membantah pelaksanaan RUU PSB tersebut pada 14 Jun Ini di ibu negara.

Katanya, Pemuda Pas akan berdiri di barisan hadapan untuk membela nasib rakyat yang semakin ditekan oleh dasar-dasar yang meminggirkan.

“Kami menyeru semua pihak termasuk NGO, mahasiswa dan mana-mana pihak yang prihatin untuk bersama-sama menyatakan pendirian tegas menolak RUU ini demi menjamin keadilan perbandaran dan melindungi masa depan komuniti asal di kota-kota besar negara,” tambahnya. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here