KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menggempur 35 buah premis di Selangor kerana menjalankan aktiviti penyelewengan subsidi gas petroleum cecair (LPG) di beberapa lokasi sejak Khamis lalu.
Pengarah KPDN Selangor, Mohd Zuhairy Mat Radey berkata, serbuan dibuat menerusi Ops Gasak 2025 selama dua hari.
Katanya, sasaran premis memfokuskan kepada syarikat penternak ayam, pembekal gas memasak, perniagaan mencuci pakaian (dobi) dan restoran makanan.
Tindakan sitaan turut dibuat ke atas keseluruhan empat kes yang dihasilkan dengan anggaran nilai rampasan mencecah RM8,000 dengan melibatkan sejumlah hampir 90 unit tong gas LPG.
“Siasatan akan dilanjutkan di bawah peruntukan Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Zuhairy berkata, rekod pencapaian keseluruhan KPDN Selangor dalam menangani isu ketirisan barang kawalan dan barang kawalan bersubsidi khususnya melibatkan komoditi LPG di bawah penguatkuasaan Akta Kawalan Bekalan 1961 sejak Januari sehingga hari ini adalah sebanyak 35 kes dengan nilai rampasan mencecah RM680,000.00.
Ujarnya, KPDN Selangor akan terus memperkukuh peranan penguatkuasaan melalui pendekatan yang bersasar, berasaskan data serta berorientasikan pendidikan pengguna dan peniaga.
Katanya, ini termasuk meningkatkan kecaknaan dan partisipasi rakyat agar menjadi pengguna yang lebih berinformasi, bertanggungjawab dan dilindungi.
“Hasil tindakan kes di bawah Ops Gasak 2025 ini juga adalah sebahagian daripada inisiatif “KITA GEMPUR” yang telah dilancarkan oleh KPDN dalam usaha untuk membanteras isu manipulasi dalam aktiviti perniagaan dan ketirisan yang melibatkan barang kawalan dan barang kawalan bersubsidi. – MalaysiaGazette