KUANTAN – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntuk sebanyak RM203.45 juta untuk pembangunan infrastruktur awam di Pahang menerusi siri jelajah Sentuhan Kasih KPKT hari ini.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata peruntukan ini meliputi pelaksanaan projek-projek pembangunan dan naik taraf infrastruktur awam, pembangunan, perumahan, landskap, kebombaan dan komuniti demi kesejahteraan penduduk setempat.
”KPKT berbesar hati mengumumkan pelaksanaan 11 inisiatif, 51 projek pembangunan infrastruktur kemudahan awam, khusus untuk Negeri Pahang bagi Tahun 2025
”Peruntukan tersebut meliputi pelaksanaan 42 projek pembangunan dan naik taraf iaitu sebanyak RM202.47 juta dan bantuan kewangan bagi kerja-kerja pembaikan serta penyelenggaraan 10 buah Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) sebanyak RM973,000 di neger ini pada tahun 2025,” katanya.
Pada sesi lawatan kerja itu beliau menyampaikan kunci kepada lima penerima Rumah Mesra Rakyat (RMR) dan tiga unit kunci Rumah Bina Baharu Rumah di Bandar.
Menurutnya peruntukan berjumlah RM63.45 juta di bawah Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) bagi pembinaan kediaman di bawah Program RMR.
Penyerahan tersebut adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk membina 5,450 unit RMR di seluruh negara melalui Bajet 2025.
”Pada tahun ini sejumlah 782 unit RMR telah diperuntukan dan akan dibina di sPahang dan sehingga kini sejumlah 472 unit RMR telah berjaya dibina.
”Sejak diperkenalkan, program RMR telah berjaya membantu 70,175 keluarga di seluruh negara untuk memiliki kediaman mereka sendiri,” katanya.
Sesi Penyerahan cek replika bagi peruntukan Pembangunan dan Perancangan kepada Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, Datuk Fakhruddin Mohd Ariff.
Terdahulu beliau mengadakan sesi lawatan di Pasar Besar Kuantan, dan Projek Menaik Taraf Kemudahan Taman Awam Taman Tasik Lestari Teluk Chempedak.
Program Sentuhan Kasih 3.0 yang telah masuk tahun ketiga penganjurannya merupakan program turun padang KPKT bagi menyantuni rakyat.
Ia bermatlamat untuk meninjau sendiri kemajuan projek-projek yang telah diluluskan Kerajaan Perpaduan di bawah Rolling Plan 5 (RP5) Tahun 2025, Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) untuk negeri ini. – MalaysiaGazette