[ARKIB] Sebahagian orang ramai pada Perhimpunan Protes Presiden Amerika Donald Trump yang mengusir warga Gaza di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat, Jalan Tun Razak Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 14 FEBRUARI 2025

ANKARA – Pejabat Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OHCHR) di Wilayah Palestin yang Diduduki mengeluarkan amaran tegas berhubung peningkatan jumlah wartawan Palestin yang terkorban, sempena sambutan Hari Kebebasan Akhbar Sedunia, pada Jumaat .

Menurut Anadolu Ajansi (AA), OHCHR mengesahkan bahawa 211 wartawan telah terkorban di Gaza sejak 7 Oktober 2023, termasuk 28 wartawan wanita.

Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pula melaporkan sekurang-kurangnya 47 wartawan maut semasa bertugas, manakala pihak berkuasa Palestin menyatakan 49 wartawan kini ditahan di pusat tahanan Israel setakat Selasa.

“Ves akhbar kini bukan lagi pelindung, tetapi menjadi sasaran,” kata seorang wartawan kepada OHCHR, yang turut menegaskan bahawa terdapat “petunjuk kukuh” bahawa kempen ketenteraan Israel sengaja menyasarkan wartawan – satu tindakan yang, jika disahkan, boleh dianggap sebagai jenayah perang di bawah undang-undang antarabangsa.

Beberapa wartawan yang ditahan oleh tentera Israel melaporkan kepada OHCHR bahawa mereka telah dipukul, dihina serta menjadi mangsa keganasan seksual dan berasaskan jantina semasa soal siasat berkaitan kerja kewartawanan – satu corak penderaan yang menurut PBB “berkait dengan usaha menakut-nakutkan dan menjejaskan kredibiliti media Palestin.”

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) turut mengecam keengganan Israel membenarkan wartawan asing masuk ke Gaza sejak perang bermula, kecuali lawatan terhad yang dikawal tentera.

Keadaan ini menyebabkan wartawan Palestin terpaksa melaporkan situasi di Gaza dalam keadaan mereka sendiri turut menjadi mangsa pengeboman dan keganasan.

“Kehidupan dan tugas mereka sentiasa dalam ancaman,” kata PBB. “Mereka terpaksa menyeimbangkan kebimbangan terhadap keselamatan keluarga sendiri dengan tanggungjawab untuk mendokumentasikan jenayah terhadap warga mereka.”

Di Tebing Barat yang diduduki, termasuk Baitulmuqaddis Timur, wartawan terus berdepan gangguan, penahanan dan keganasan.

PBB telah mengesahkan banyak kes penahanan sewenang-wenangnya, terutamanya di kem pelarian Jenin dan kawasan panas lain.

PBB menegaskan bahawa corak keganasan dan penindasan ini bukan sahaja melanggar undang-undang kemanusiaan dan hak asasi antarabangsa, tetapi turut menghalang akauntabiliti terhadap pelanggaran berterusan di Wilayah Palestin yang Diduduki (OPT).

“Pembunuhan, penahanan dan gangguan terhadap wartawan mesti dihentikan serta-merta,” kata OHCHR. “Pelaku jenayah mesti dibawa ke muka pengadilan, termasuk oleh negara pihak ketiga.”

“Dalam waktu konflik, media memainkan peranan penting untuk mendedahkan pencabulan dan memastikan keadilan,” kata agensi itu. “Usaha untuk menyekat mereka adalah amat membimbangkan dan tidak boleh dibiarkan oleh masyarakat antarabangsa.”

Lebih 52,400 rakyat Palestin telah terkorban di Gaza akibat serangan Israel sejak Oktober 2023, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) pada November lepas mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanannya Yoav Gallant atas tuduhan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.

Israel juga berhadapan kes genosid  di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) kerana tindakannya menyerang Gaza.

— BERNAMA-ANADOLU

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here