Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid.

KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Islam Malaysia (MAPIM) mengemukakan beberapa tuntutan berhubung tindakan rejim Israel yang melakukan serangan sistematik ke atas kebebasan media, khususnya di wilayah Gaza.

Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, tuntutan tersebut iaitu penghentian segera semua serangan terhadap wartawan dan infrastruktur media di Gaza dan wilayah Palestin yang diduduki.

Katanya, MAPIM menggesa siasatan bebas antarabangsa terhadap pembunuhan wartawan oleh pasukan Israel serta pendakwaan di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dilaksanakan.

“Perlindungan penuh kepada Al Jazeera dan semua media bebas yang melaporkan isu Palestin dan kecaman terbuka oleh badan-badan media antarabangsa terhadap tindakan Israel.

“Perlu dilakukan sekatan dan tindakan hukuman ke atas Israel atas pelanggaran kebebasan media termasuk mengadakan sidang tergempar PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) dan institusi kebebasan media global bagi menangani serangan terhadap media di zon konflik, khususnya di Palestin,” katanya dalam kenyataan.

Mohd Azmi membuat penegasan itu sempena sambutan Hari Kebebasan Media Sedunia yang disambut pada 3 Mei setiap tahun.

Mengulas lanjut beliau berkata, tindakan Israel menyasarkan wartawan, mengebom pejabat media dan memusnahkan rumah-rumah pengamal media sebagai strategi terancang untuk membungkam kebenaran serta menutup jenayah perang yang sedang berlaku.

“Hari Kebebasan Media Sedunia tahun ini bukan disambut dengan kegembiraan, tetapi dengan kedukaan dan kemarahan.

“Intipati kebebasan media kini diserang secara langsung oleh sebuah rejim yang sekian lama dilindungi oleh kuasa barat,” ujarnya.

MAPIM menegaskan bahawa tindakan terbaharu Israel menutup operasi Al-Jazeera merupakan cubaan terang-terangan untuk menindas laporan bebas dan menghapuskan kebenaran mengenai situasi genosid di Gaza.

Mohd Azmi berkata, Amerika Syarikat (AS) wajar dipersalahkan kerana didakwa bersekongkol dengan rejim Zionis melalui sokongan ketenteraan serta perlindungan diplomatik yang membolehkan Israel terus bertindak tanpa pertanggungjawaban.

“Dengan berdiam diri terhadap pembunuhan wartawan dan penindasan media, AS menjadi rakan jenayah dalam membunuh kebenaran dan mengekalkan apartheid,” katanya.

Mohd Azmi turut menegur, peranan media arus perdana barat dan platform sosial yang menurutnya bersalah kerana melakukan penapisan berat sebelah, menyebarkan maklumat palsu dan membisukan suara rakyat Palestin.

Katanya lagi, pembunuhan wartawan oleh Pasukan Pendudukan Israel (IOF) bukan insiden terpencil, sebaliknya, merupakan sebahagian daripada dasar penindasan yang sistematik dan berterusan.

“Kewartawanan bukan jenayah. Menyampaikan kebenaran bukan keganasan. Menyasarkan wartawan bermakna menyerang kebenaran itu sendiri,” tegas Mohd Azmi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

Lebih 200 wartawan terkorban di Gaza

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here