Ir. Razali Kassim

KUANTAN – Sebanyak 6,563 kes Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) dilaporkan di negeri ini sehingga 26 April 2025 berdasarkan statistik Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP).

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Ir. Razali Kassim berkata jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak lapan kali ganda berbanding 726 kes dilaporkan pada tempoh yang sama pada tahun 2024.

Menurutnya tren peningkatan kes HFMD di Pahang ini sama dengan trend peningkatan kes HFMD di seluruh Malaysia.

”Penularan kes HFMD dalam komuniti ini dikenal pasti berpunca daripada pergerakan kes yang dijangkiti semasa musim perayaan.

”Peningkatan kes HFMD ini juga disumbangkan oleh jangkitan yang berlaku dalam pusat asuhan dan pusat pendidikan kerana kelemahan kepatuhan ibu bapa dan pihak bertanggungjawab kepada prosedur gate keeping,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Mengulas lanjut katanya daripada keseluruhan kes ini, 391 kes (6%) adalah kes yang dikenal pasti hasil dari penularan yang berlaku di taska, tadika, pra sekolah, sekolah rendah manakala 6,262 kes (94%) adalah berlaku secara sporadik.

Kes HFMD banyak berlaku dalam kalangan kanak-kanak berumur 0 hingga 6 tahun iaitu sebanyak 5,501 kes (83.8%), diikuti oleh kumpulan umur 7 hingga12 tahun iaitu sebanyak 952 kes (14.5%) dan sebanyak 110 kes (1.7%) berlaku dalam kalangan individu berumur lebih 12 tahun.

Razali berkata majoriti kes HFMD pulih tanpa rawatan di mana hanya satu kes (0.02%) yang dimasukkan ke hospital bagi tujuan pemantauan lanjut dan selebihnya menerima rawatan pesakit luar kerana hanya mengalami gejala ringan.

”Tiada kes kematian direkodkan, namun penyakit HFMD adalah penyakit berjangkit disebabkan oleh jangkitan virus dalam famili enterovirus.

”Majoriti kes adalah disebabkan oleh Coxsackie Virus A16 di mana virus penyebab penyakit ini boleh ditemui di hidung, tekak, cecair lepuhan kulit dan pada najis pesakit,” jelasnya.

Sehubungan itu, orang awam diminta untuk sama-sama membantu mengekang jangkitan HFMD dengan mengamalkan langkah-langkah pencegahan bagi mengelakkan diri dan ahli keluarga daripada dijangkiti HFMD.

Semua ibu bapa, pengasuh kanak-kanak dan kakitangan sekolah perlu mengamalkan amalan kebersihan yang asas seperti mencuci tangan dengan betul terutamanya selepas mereka menguruskan kanak-kanak ke tandas dan bilik mandi. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here