KUALA LUMPUR – Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli menyifatkan dakwaan yang sering digunakan oleh Pas dan Perikatan Nasional (PN) ketika berkempen ketika ini iaitu memainkan sentimen kononnya Kerajaan Persekutuan menganaktirikan negeri-negeri yang ditadbir pembangkang sebagai modal lama.
Beliau juga berkata, antara dakwaan popular yang dimainkan adalah Kerajaan Pusat mengutip cukai daripada negeri seperti Kelantan namun tidak mengembalikan semula hasil tersebut dalam bentuk peruntukan pembangunan.
Malah menurutnya, terdapat wakil rakyat pembangkang yang mencadangkan agar kerajaan negeri sendiri diberi kuasa memungut cukai.
Namun beliau mempersoalkan sama ada tindakan itu benar-benar akan menyelesaikan isu pembangunan di negeri terbabit termasuk masalah air dan projek terbengkalai seperti Stesen Bas KB Sentral.
“Teruknya Kerajaan Persekutuan sehinggakan Ahli Parlimen Pasir Putih mencabar agar PAS dibenarkan kutip sendiri cukai Kelantan yang kini dibayar kepada Kerajaan Persekutuan.
“Agak-agak, kalau Kelantan kutip cukai sendiri seperti yang diapi-apikan oleh Pas, adakah masalah pembangunan di Kelantan selesai?” soalnya dalam satu rakaman video di hantaran Facebook miliknya di sini hari ini.
Rafizi menambah, hasil cukai yang dikutip Kerajaan Pusat kebanyakannya datang daripada cukai perniagaan, cukai pendapatan individu serta cukai jualan.
Namun katanya, tanpa ekosistem ekonomi yang sihat dan mesra pelaburan, hasil tersebut tidak akan mencukupi bagi menampung kos pembangunan negeri.
“Sebab itu, lebih baik kita bersaing dengan kepakaran kita merancakkan ekonomi, bukannya bermain sentimen dengan mengapi-apikan konon Kerajaan Persekutuan memangsakan negeri-negeri pembangkang,” jelasnya yang Ahli Parlimen Pandan. – MalaysiaGazette