KUALA LUMPUR – Pendidikan amat penting kepada sesiapa sahaja tanpa mengira latar belakang sekalipun seorang itu banduan.
Itu prinsip yang dipegang oleh seorang bekas banduan, Murad (bukan nama sebenar), 38 tahun yang menerima anugerah Doktor Falsafah (Pentadbiran Perniagaan) pada Majlis Konvokesyen Ke-29 Open University Malaysia (OUM) yang berlangsung hari ini.
Lelaki itu berkata, dengan pendidikan kejayaan menerpa dalam kehidupan satu persatu.
“Saya buat semua ini untuk buktikan kepada diri saya sendiri, saya percaya pendidikan boleh ubah perkara yang kita tidak pernah terfikir.
“Contohnya sebelum ini mula-mula saya belajar sebab hanya nak belajar, lama kelamaan minda saya semakin terbuka, kenapa saya perlu sambung pelajaran walaupun banyak cabaran,” katanya.
Dalam masa yang sama, beliau ingin menjadikan kejayaan yang dicapainya pada hari ini sebagai motivasi kepada banduan yang lain untuk berubah ke arah lebih baik.
Katanya, tidak ada apa yang mustahil dengan keazamanan dan keinginan daripada diri seseorang untuk melakukan perubahan yang positif.
“Bila saya lanjutkan pengajian hingga ke peringkat universiti, saya lihat yang saya perlu buat pembaharuan. Siapa nak bantu banduan kalau tidak banduan?
“Sebab kedua, saya cuba buktikan kepada masyarakat sebenarnya kalau seseorang itu betul-betul mahu berubah, boleh.
“Kita tidak boleh ubah persepsi dan salahkan masyarakat tetapi kita boleh kawal diri sendiri,” tambahnya.
Dia sebelum ini telah menjalani hukuman dari tahun 2001 semasa berusia 14 tahun.
Murad menjalani hukuman sebagai Tahanan Limpah Sultan (TLS) di Rawatan Pemulihan Dadah Penjara Kajang dan dibebaskan pada 11 Disember tahun lalu sempena Hari Keputeraan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.
Murad yang kini membuka kebun secara kecil-kecilan di Batang Kali menyimpan impian untuk terus membantu rakan banduan mendapatkan pekerjaan seterusnya menjadi usahawan.
Dalam masa yang sama, beliau berbesar hati untuk berkongsi pengalaman dan ikon bagi menyuntik semangat banduan-banduan yang lain supaya berubah.
“Saya ada keinginan untuk mengubah rakan banduan menjadi lebih baik, kalau saya tidak boleh ajak ramai-ramai (banduan) berubah, tapi sikit sahaja tidak mengapa… Objektif saya untuk melahirkan usahawan dalam kalangan banduan bukan sekadar menjadi pekerja sahaja
“Apabila saya sudah keluar, pertama saya mahu bagi talk kepada masyarakat, kongsikan pengalaman, tentang kepentingan pendidikan dan elakkan masuk penjara (lakukan kesalahan),” katanya lagi.
Untuk makluman, Murad merupakan prospek pertama Jabatan Penjara Malaysia yang bergelar Doktor Falsafah dalam Pentadbiran Perniagaan setelah menyambung pelajaran semasa menjalani hukuman pemenjaraan.-MalaysiaGazette