GEORGE TOWN – Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) mempertimbangkan pembinaan sebuah hospital kerajaan baharu di kawasannya susulan peningkatan keperluan rawatan kesihatan dalam kalangan penduduk setempat.
Menurut Tze Tzin, kawasan Parlimen itu mempunyai kira-kira 389,608 penduduk dengan kepadatan lebih 10,000 orang per kilometer persegi dengan majoritinya terdiri daripada golongan B40 dan pekerja industri.
“Penduduk di sini berdepan kesukaran untuk mendapatkan rawatan segera kerana hospital terdekat iaitu Hospital Pulau Pinang dan Hospital Balik Pulau masing-masing terletak sejauh 17 hingga 19 kilometer dari Bayan Baru,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata demikian susulan mengadakan lawatan bersama Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad di Klinik Kesihatan Bayan Baru semalam.
Tze Tzin turut menegaskan pertambahan warga emas di kawasan itu menjadikan keperluan terhadap hospital kerajaan lebih mendesak.
Bagaimanapun, kata beliau, Dzulkefly menyatakan bahawa kekangan utama ialah ketiadaan tanah sesuai di Bayan Baru, kerana kementerian memerlukan sekurang-kurangnya 10 ekar untuk membina hospital berskala besar.
“Menteri Kesihatan berharap agar Kerajaan Negeri Pulau Pinang dapat membantu mengenal pasti tapak yang sesuai bagi tujuan itu.
“Justeru, saya akan berusaha untuk terus mendesak agar hospital kerajaan dapat direalisasikan di Bayan Baru dalam masa terdekat demi kesejahteraan rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette