GEORGE TOWN – Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) menetapkan sasaran penjimatan air domestik per kapita kepada 250 liter/kapita/sehari (LKH) untuk tahun ini.
Ia membabitkan pengurangan sebanyak 11 LKH daripada 261 LKH yang dicatatkan pada tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif PBAHB dan PBAPP, Datuk Ir. K. Pathmanathan berkata, langkah itu mampu menghasilkan penjimatan sebanyak 19.8 juta liter air sehari (JLH) jika kesemua 1.8 juta penduduk Pulau Pinang patuh.
“Meskipun purata kebangsaan negara pada 2023 ialah 237 LKH dan Singapura hanya 141 LKH, sasaran 250 LKH bagi Pulau Pinang dilihat sebagai satu langkah kecil namun signifikan ke arah masa depan bekalan air yang lebih kukuh.
“Penjimatan sebanyak 19.8 JLH dijangka mengurangkan penggunaan air keseluruhan negeri daripada 870 JLH pada 2024 kepada kira-kira 850 JLH tahun ini, iaitu pengurangan sekitar 2.3 peratus,” katanya dalam kenyataan sempena Hari Air Sedunia hari ini.
Tambah Pathmanathan, penggunaan air domestik membentuk 54 peratus daripada jumlah penggunaan air di negeri ini, justeru penjimatan oleh rakyat akan menyumbang secara langsung kepada kestabilan bekalan air di kawasan tinggi dan hujung paip seperti di Seberang Perai Selatan serta Daerah Barat Daya.
Mengulas kesan perubahan iklim, beliau berkata dua empangan utama negeri iaitu Empangan Teluk Bahang dan Empangan Air Itam menunjukkan penurunan kapasiti efektif masing-masing sebanyak 13.1 dan 22.6 peratus sejak 1 Januari lalu akibat taburan hujan yang rendah.
Beliau menjelaskan bahawa empangan-empangan tersebut direka bentuk untuk diisi semula dengan air hujan di kawasan tadahan masing-masing, namun cuaca tidak menentu dan fenomena El Niño berpanjangan menjejaskan pengisian semula sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
“Sebaliknya, Empangan Mengkuang Diperbesarkan (EMD) direka bentuk untuk diisi melalui air yang dipam dari Sungai Kulim. Walaupun pembenihan awan boleh dimohon, kejayaannya tidak menentu dan hanya memberikan kesan sementara.
“Sehubungan itu, kita menyeru kerjasama rakyat dalam mengurangkan permintaan air bagi menyokong Pelan Kontinjensi Air 2030 yang kini sedang dilaksanakan dengan pelaburan lebih RM1 bilion, demi menjayakan visi Penang2030 sebagai negeri pintar dan hijau berteraskan keluarga,” katanya. – MalaysiaGazette