KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menumpaskan satu sindiket eksploitasi seks yang berselindung di sebalik sebuah premis spa dan pusat urut di Johor Bahru dalam serbuan yang dilakukan semalam.
Ketua Pengarah JIM, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi ke atas premis berkenaan turut membongkar aktiviti pemerdagangan orang berskala besar yang dipercayai melibatkan mangsa bawah umur.
Katanya, serbuan dibuat berdasarkan aduan awam dan risikan yang dijalankan oleh Bahagian Pencegahan ATIPSOM dan AMLA, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.
“Berdasarkan maklumat yang diperoleh, pasukan operasi telah diatur gerak dengan kekuatan seramai 58 pegawai pelbagai pangkat dari Bahagian Penguatkuasaan, Bahagian Perisikan & Operasi Khas Ibu Pejabat Imigresen, JIM Negeri Sembilan dan JIM Negeri Johor.
“Pemeriksaan ke atas premis tersebut berjaya menahan sejumlah 37 wanita warga asing dari negara Vietnam dan 16 warganegara Indonesia berusia antara 18 hingga 40 tahun.
“Mereka dipercayai terlibat dalam aktiviti pelacuran yang ditawarkan hanya kepada pelanggan tertentu melalui aplikasi WeChat dan WhatsApp,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Zakaria berkata, bayaran yang dikenakan dianggarkan antara RM200 hingga RM300 sejam, bergantung kepada pakej dan tempoh perkhidmatan.
Turut ditahan, 11 lelaki warganegara Indonesia, Vietnam dan Bangladesh yang dipercayai berkerja sebagai pekerja pembersihan di premis tersebut serta tujuh lelaki warga tempatan yang disyaki bertindak sebagai pemilik premis / kapten / ‘penjaga’ kepada wanita warga asing ini.
Tambah beliau, wanita-wanita terbabit dipercayai mampu meraih keuntungan sehingga RM5,000 hingga RM10,000 sebulan hasil kegiatan tidak bermoral tersebut.
“Sewaktu serbuan dijalankan pada 3.15 petang, beberapa wanita warga asing didapati sedang melayan pelanggan yang terdiri daripada warga tempatan dan pelancong asing,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Zakaria berkata, pasukan operasi telah menemui sebahagian besar daripada mereka bersembunyi dalam sebuah bilik rahsia di premis itu yang dipercayai disediakan khusus bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
Turut ditemui wang tunai berjumlah RM128,464 dipercayai hasil kegiatan tersebut, ujarnya.
Jelasnya, operasi serbuan turut menggunakan pendekatan siasatan awal bagi pengenalpastian mangsa pemerdagangan orang berpandukan kepada National Guideline on Human Trafficking Indicators (NGHTI 2.0).
“Hasil pengenalpastian awal, 10 wanita warganegara asing yang terdiri daripada empat wanita warganegara Indonesia dan enam wanita warganegara Vietnam dipercayai menjadi mangsa eksploitasi seks di bawah umur.
“Mereka turut berkait dengan penipuan pekerjaan, tidak dibayar gaji atau upah, pergerakan dikawal serta pasport dipegang telah diselamatkan,” katanya.
Tambah beliau, siasatan dijalankan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 [Akta 670].
Katanya, mangsa yang diselamatkan ditempatkan di rumah perlindungan sementara siasatan dijalankan.
“Manakala kesemua warga asing yang lain ditahan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen bagi tujuan siasatan lanjut di bawah peruntukan Akta Imigresen 1969/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Manakala ‘kapten’ turut disiasat di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 [Akta 670], Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63,” katanya. – MalaysiaGazette
Tahniah kepada pihak berkuasa, gandakan usaha murni terpuji anda dibandar2 besar lainnya. Selepas PKP industri pelacuran ini kembali berkembang bagaikan tumbuhnya cendawan selepas hujan.
Hukuman paling berat untuk kesemua yang terlibat.