KIMANIS – Satu ujian rintis membekalkan petrol RON97 di stesen Petronas Kimanis dijalankan untuk tempoh enam bulan bermula hari ini, yang bertujuan menilai tahap permintaan serta keperluan bahan api itu bagi laluan antara Bandar Seri Begawan, Brunei dan Kota Kinabalu, Sabah.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, ia berikutan aduan penduduk sekitar dan pelawat serta pelancong dari Brunei berhubung kesukaran mendapatkan bekalan petrol RON97 di bahagian Pantai Barat Selatan Sabah.
Beliau berkata, hanya 37 daripada 260 stesen minyak di seluruh Sabah menawarkan petrol RON97 kerana banyak stesen minyak di negeri itu tidak menyediakan bahan api tersebut disebabkan faktor permintaan rendah yang memberikan implikasi kerugian.
“Ia masalah utama dihadapi pelawat dan pelancong dari Brunei, kerana dasar semasa kerajaan yang menetapkan kenderaan asing hanya dibenarkan mengisi petrol RON97 iaitu bahan api tidak bersubsidi dan dijual pada harga pasaran.
“Menurut rekod Jabatan Kastam Diraja Malaysia, sebanyak 156,000 kenderaan dengan pendaftaran Brunei telah memasuki Malaysia bagi tempoh 2023 hingga tahun lepas,” katanya di sini hari ini.
Armizan berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Turun Padang dan Pelancaran Produk RON97 di sini, yang turut dihadiri Ketua Pegawai Operasi Petronas Dagangan Berhad, Azureen Azita Abdullah.
Beliau berkata, stesen Petronas Kimanis adalah lokasi sesuai untuk pelaksanaan ujian di laluan tersebut, mengambil kira faktor jarak pemanduan 205 kilometer dari Bandar Seri Begawan ke stesen itu serta kedudukannya yang strategik, sekitar Lebuh Raya Pan Borneo.
Ujian rintis itu mengguna pakai Mini Portable Container System (PCS) dengan kapasiti 5,000 liter dalam tempoh percubaan, sebelum pelaksanaan sepenuhnya.
“Pendekatan ini bertujuan menilai keberkesanan sistem penyimpanan dan penjualan bahan api dalam memenuhi permintaan pengguna di samping meminimumkan kesan kewangan sekiranya jualan bahan api tidak mencapai tahap yang diunjurkan.
Armizan berkata, sekiranya hasil ujian rintis itu positif, pihaknya akan mempertimbangkan untuk menambah bilangan stesen minyak menawarkan petrol RON97 di laluan itu, bagi memberi lebih banyak pilihan dan kemudahan kepada pengguna. – Bernama