Penerima Anugerah Sepanjang Hayat, Tang Tung Khing, 79, dan Yusof Harun, 73, ketika hadir ke Majlis Konvokesyen OUM ke-29 di Dewan Merdeka, WTCKL. Foto SADIQ SANI, 03 MEI 2025

KUALA LUMPUR – Dua warga emas hari ini membuktikan umur bukan penghalang untuk seseorang merangkul Anugerah Pembelajaran Sepanjang Hayat pada Majlis Konvokesyen Ke-29 Open University Malaysia (OUM), hari ini.

Yusof Haron, berjaya menamatkan pengajiannya dalam bidang Pengajian Islam dengan Kepujian pada usia 73 tahun.

Katanya, meskipun tidak dapat melanjutkan pelajaran di usia muda kerana kekangan kewangan namun semangatnya tidak pernah terpadam selepas memastikan anak-anaknya berjaya ke menara gading.

“Sebenarnya saya sewaktu muda tidak berkesempatan melanjutkan pelajaran kerana kekangan kewangan yang dihadapi keluarga tapi Alhamdulillah, saya berjaya hantar semua anak-anak saya melanjutkan pelajaran ke pengajian tinggi.

Penerima Anugerah Sepanjang Hayat, Yusof Harun, 73, ketika hadir ke Majlis Konvokesyen OUM ke-29 di Dewan Merdeka, WTCKL. Foto SADIQ SANI, 03 MEI 2025

“Selepas mereka berjaya, saya pencen dan mula sambung pelajaran sejak 2010. Seperti mana hadis nabi, saya rujuk ‘tuntutlah ilmu daripada buaian hingga ke liang lahad’

“Ini galakan dalam Islam, memang kita disuruh belajar, tidak mengira miskin atau kaya tidak berpengalaman atau tidak. Kita kena ada semangat ingin belajar,” katanya yang berasal dari Perak.

Selain bersyukur mendapat sokongan daripada seluruh ahli keluarga, Yusof berkata agama juga mengutamakan umatnya untuk menuntut ilmu meskipun berhadapan dengan pelbagai cabaran hidup.

“Sebab ilmu adalah lampu suluh dalam kehidupan kita, khasnya dalam pengajian saya Islam tentang ibadah, pengurusan hidup dari aspek agama. Kalau kita biarkan diri kita di dalam kejahilan maksudnya kita berada dalam kegelapan,” tambahnya.

Sementara itu, graduan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Tang Tung Khing, 79 tahun berkata kejayaan anak-anaknya menamatkan pengajian masing-masing menjadi inspirasi buatnya untuk menyambung pelajaran.

Penerima Anugerah Sepanjang Hayat, Tang Tung Khing, 79, ketika hadir ke Majlis Konvokesyen OUM ke-29 di Dewan Merdeka, WTCKL. Foto SADIQ SANI, 03 MEI 2025

Walaupun sudah berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama berpuluh tahun termasuklah pernah menjadi Setiausaha Politik seorang ahli politik pada 1995 di Sarawak, Tang berkata  hasrat untuk memasuki ‘dunia universiti’ tetap membara dalam dirinya.

“Sebenarnya saya dapat inspirasi sambung belajar bila melihat ketiga-tiga anak saya berjaya menamatkan pengajian masing-masing. Saya percaya sekarang warga emas perlu mempunyai ilmu pengetahuan yang cukup untuk memperbaiki,” menurutnya.

Dalam pada itu, beliau bersyukur kerana Malaysia merupakan negara yang memberi peluang dan hak kepada rakyatnya untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi tanpa diskriminasi umur, kaum mahu pun latar belakang.

“Malaysia merupakan negara yang memberi peluang kepada pelbagai kaum mendapatkan peluang pendidikan daripada pelbagai latar belakang juga umur.

“Situasi ini memudahkan dan banyak membantu saya,” katanya lagi.

Terdahulu, Konvokesyen ke-29 OUM yang berlangsung hari ini hingga 7 Mei di Pusat Dagangan Dunia, KL bakal menyaksikan seramai 7,915 graduan menerima skrol masing-masing menerusi 10 sesi.

Majlis yang bermula hari ini dipengerusikan olehPro-Canselor OUM, Tan Sri Azman Hashim.

Sejak ditubuhkan pada tahun 2000, OUM telah melahirkan lebih 120,000 graduan dari peringkat diploma hingga kedoktoran dan bakal menyambut ulang tahun ke-25 pada bulan Ogos ini.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here