KOTA BHARU – Dua beradik lelaki orang asli dikhuatiri lemas selepas hilang di Sungai Kampung Kilat, Kuala Krai semalam.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Durian Muhaimi Hashim berkata dua beradik itu masing-masing berusia 17 dan 16 tahun.
“Pihak kami menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 10.21 malam sebelum bergegas ke lokasi bersama tujuh anggota.
“Sebaik tiba di lokasi pada 11 malam, jentera bomba tidak dapat menghampiri tempat kejadian yang jauh di kawasan pedalaman dan anggota perlu berjalan kaki sebelum tiba pada 12.10 tengah malam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata operasi ditangguhkan sementara waktu disebabkan cuaca gelap dan hujan ketika itu dan Pusat Kawalan Operasi Bencana telah dibuka di lokasi kejadian. – BERNAMA