Kisah jiwa yang mencari damai
Oleh: Nurfilzah Emily Mohamad Khairuddin
DALAM perjalanan hidup, ada ketikanya kita menjadi hakim paling kejam terhadap diri sendiri. Kesilapan yang telah berlaku, perkataan yang tak sepatutnya terucap, pilihan yang membawa derita semuanya berputar-putar dalam minda membalut jiwa dalam rasa bersalah yang menyesakkan dada. Kita terlupa bahawa diri ini bukanlah makhluk sempurna. Kita diciptakan dengan ruang untuk salah, ruang untuk jatuh dan yang paling penting ruang untuk bangun semula.
Namun, kenapa begitu sukar untuk kita memaafkan diri sendiri seolah-olah dosa itu lebih besar daripada rahmat yang tersedia luas? Setiap insan pernah merasa betapa beratnya beban kesilapan. Ada yang membawa luka bertahun-tahun lamanya membiarkan rasa bersalah itu membunuh keyakinan sedikit demi sedikit. Kita membayangkan bahawa menghukum diri adalah satu bentuk penebusan satu jalan untuk membayar harga atas kesalahan lalu. Hakikatnya, kita silap.
Mendera diri sendiri dengan rasa malu dan benci bukanlah jalan penyucian tetapi jalan yang menjerumuskan kita lebih dalam ke dalam kegelapan. Sedangkan jalan yang sebenar ialah kembali kepada sumber kasih yang tidak pernah menolak sesiapa yang mencariNya dengan hati yang hancur dan penuh harapan. Memaafkan diri sendiri bukan bermakna kita menafikan kesilapan yang telah dibuat. Ia bukan juga bermaksud kita lepas tangan terhadap tanggungjawab.
Sebaliknya, ia adalah pengakuan tulus bahawa kita telah tersilap, kita telah belajar dan kita bersedia melangkah ke hadapan dengan jiwa yang lebih sedar dan hati yang lebih tunduk. Ia adalah satu bentuk kerendahan diri yang mendalam mengakui bahawa segala yang kita lakukan baik atau buruk berlaku dalam ruang kelemahan manusia yang tidak akan pernah luput selagi kita bernama insan.
Ada satu kedamaian luar biasa yang hadir apabila kita benar-benar mengizinkan diri untuk dimaafkan. Seperti embun pagi yang menyejukkan tanah yang gersang. Saat kita memilih untuk memaafkan diri kita juga membuka pintu untuk pertumbuhan rohani yang sebenar. Kita mula melihat kesilapan bukan sebagai hukuman yang harus ditanggung selama-lamanya tetapi sebagai pelajaran berharga yang membentuk kita menjadi insan yang lebih bijaksana, lebih sabar, lebih berbelas kasihan terhadap diri sendiri dan terhadap manusia lain.
Dalam pendekatan yang berlandaskan nilai-nilai ketuhanan, proses memaafkan diri sendiri bermula dengan pengiktirafan terhadap kesalahan di hadapan Tuhan. Kita diajar untuk tidak menyorokkan aib diri, tidak membungkus dosa dengan keangkuhan atau berputus asa, tetapi untuk berhadapan dengannya dengan jujur dan rendah hati.
Tangisan keinsafan di sepertiga malam, doa yang dirintih dalam kelam, pengakuan dalam sujud panjang semua itu menjadi saksi bahawa kita tidak berserah kepada berputus asa, tetapi berharap kepada keampunan yang tidak bertepi. Ini adalah proses penyembuhan yang sangat mendalam meletakkan beban yang berat itu di tangan Yang Maha Mengetahui dan membiarkan diri kembali ringan.
Namun, memaafkan diri sendiri tidak berlaku dalam satu malam. Ia adalah perjalanan, kadang kala panjang dan menyakitkan. Ada hari-hari di mana luka lama berdarah semula, ada detik di mana bayangan kesilapan lalu menyerang tiba-tiba tanpa amaran. Pada saat itu, kita perlu berlembut dengan diri, mengingatkan hati bahawa proses ini bukannya tentang menjadi sempurna tetapi tentang menjadi setia dalam usaha untuk memperbaiki. Setiap kali kita jatuh ke dalam kesedihan lama, itu adalah peluang untuk belajar bersabar, untuk menguatkan tekad dan untuk terus memilih rahmat Tuhan berbanding kehancuran diri.
Dalam dunia yang begitu cepat menghukum dan jarang memberi peluang kedua, memilih untuk memaafkan diri adalah satu bentuk pemberontakan yang mulia. Ia adalah pernyataan bahawa nilai diri kita tidak bergantung kepada kesilapan masa lalu, tetapi kepada keupayaan kita untuk kembali, untuk memperbaiki serta untuk terus mencintai kebaikan walaupun selepas jatuh berkali-kali. Kita bukanlah kesalahan kita. Kita adalah hamba yang dicintai yang diberi peluang untuk memperbaharui diri selama hayat masih dikandung badan.
Akhirnya, memaafkan diri adalah satu bentuk ibadah yang sunyi tetapi penuh makna. Ia adalah satu perjalanan pulang bukan hanya kepada ketenangan, tetapi kepada cinta yang agung yang tidak pernah berpaling walaupun seluruh dunia berpaling. Dalam perjalanan itu, kita belajar bahawa rahmat Tuhan itu lebih luas daripada langit dan bumi dan tiada satu pun air mata keinsafan yang jatuh sia-sia.
Setiap luka, setiap sesalan, apabila dibawa ke hadapan Tuhan dengan hati yang luluh, menjadi permata yang menyinari jalan kita menuju keampunan sejati. Dan di situlah akhirnya kita menemukan diri sendiri bukan sebagai manusia yang sempurna, tetapi sebagai manusia yang diterima seadanya, yang dicintai walaupun dengan seluruh kelemahan yang ada.
Penulis merupakan Kaunselor Pelatih lulusan Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya.