KUALA LUMPUR – Seorang banduan yang sedang menjalani hukuman penjara seumur hidup, tidak menyangka mendapat peluang kedua melanjutkan pelajaran hingga berjaya menggenggam segulung diploma.
Suresh, 31, (bukan nama sebenar) berkata, dia yang ditahan di penjara ketika berusia 17 tahun menyifatkan kehidupan di sebalik `tirai besi’ cukup sukar untuk diharung oleh pesalah muda sepertinya.
Namun, dia tidak melepaskan peluang kedua untuk membuktikan banduan juga boleh berjaya meskipun menghadapi kesukaran, berbanding orang lain.
“Ketika itu saya sangat beremosi kerana memikirkan, habislah saya sebab terpaksa menjalani hukuman penjara seumur hidup.
“Sewaktu dapat tawaran melanjutkan pelajaran, saya jadi sangsi bolehkah saya belajar? Saya tidak boleh bertutur dalam bahasa Inggeris. Namun saya cuba atas dorongan kawan-kawan dan keluarga.
“Walaupun dalam penjara, saya tetap boleh menulis dan mencapai kecemerlangan yang sudah tentu membanggakan keluarga saya,” ujarnya.
Menurut Suresh, banduan sepertinya perlu menyesuaikan diri dalam dua kehidupan iaitu sebagai penuntut pada waktu siang dan banduan pada waktu malam.
Ujarnya, banduan tidak dibenarkan membuat tugasan secara berkumpulan dan dihantar sepenuhnya secara dalam talian.
Kata Suresh, dia menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2014 dan belajar secara dalam talian selama tiga jam dan mendapat anugerah pelajar terbaik yang membolehkannya menerima tajaan melanjutkan pembelajaran.
Ujarnya, ketika ini dia sedang menyambung pengajian peringkat ijazah pentadbiran perniagaan.
Suresh yang menerima diploma pengurusan ditemui wakil media pada Majlis Konvokesyen Ke-29 Open University Malaysia (OUM) di sini yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam.
Sementara itu, seorang lagi banduan menekankan,
peluang melanjutkan pelajaran ketika ditahan di penjara, mampu mengubah minda masyarakat luar bahawa peluang kedua boleh mengubah kehidupan seseorang untuk lebih berjaya.
Shankar, 34, (bukan nama sebenar) berkata, perjuangan untuk menjadi lebih baik wajar direbut oleh lebih ramai banduan sebagai persediaan untuk menempuh kehidupan apabila dibebaskan kelak.
“Perjuangan dalam penjara boleh mengubah mentaliti masyarakat kerana walaupun di penjara, kita tetap ada peluang kedua untuk menjadi lebih baik,” ujarnya.
Shankar yang menerima diploma pengurusan turut menggambarkan perasaannya bercampur-aduk kerana tidak pernah menaiki pentas menggengam `skrol’ apatah lagi ketika bergelar banduan.
Ujar lelaki itu, dia berasa teruja dan berdebar-debar kerana akhirnya berjaya memperoleh diploma meskipun menghadapi kesukaran apabila kelas terpaksa ditutup kerana pandemik Covid-19.
Lelaki itu yang telah menjalani tempoh tahanan penjara sejak 2018, memperoleh diploma pengurusan dan sedang menyambung pelajaran peringkat ijazah pemasaran.
“Kelas terpaksa ditangguh selama dua tahun kerana
Covid-19 dan selesai tahun lalu. Saya menyambung peringkat ijazah dan akan menghabiskannya di luar kerana tempoh pemenjaraan hanya tinggal lapan bulan,” ujarnya. – MalaysiaGazette