KUALA LUMPUR – Jabatan Penjara Malaysia menyeru masyarakat memberi sokongan kepada bekas banduan terutama yang berpendidikan tinggi yang berhasrat kembali ke alam pekerjaan selepas menjalani hukuman.
Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Keselamatan dan Koreksional), Datuk Ibrisam Abdul Rahman berkata, mereka wajar diberi peluang pekerjaan dalam usaha membentuk sahsiah yang lebih baik.

Ujar beliau, banduan yang menamatkan pengajian dan memperoleh diploma atau ijazah mahupun hingga ke peringkat doktor falsafah berpeluang menggunakan ilmu yang dituntut untuk berbakti kepada masyarakat.
“Kita tahu setiap orang ada kebolehan dan ada bakat, jika tiada sokongan masyarakat, sukar untuk mereka hidup di luar sana meskipun ada pendidikan.
“Peluang kedua sangat penting kerana jika tidak (diberi peluang) mereka akan kembali kepada aktiviti asal yang memudaratkan keselamatan awam,” ujarnya.
Beliau ditemui wakil media pada Majlis Konvokesyen Ke-29 Open University Malaysia (OUM) di sini yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam.
Ibrisam selanjutnya berkata, bekas banduan berpendidikan akan mendapat gaji tinggi atau yang setaraf bagi membantu mereka mengurus kehidupan dengan lebih sempurna.
“Sama ada mereka membentuk diri sendiri atau membina keluarga, kita harap mereka berubah dan tidak mahu kembali kepada asal.
“Kami di penjara sedang berusaha melahirkan sebanyak mungkin prospek yang berpendidikan tinggi dengan harapan mereka diberi peluang pekerjaan. Mereka juga tenaga kerja kepada negara.
“Kami sudah buat yang terbaik, kami harap pihak`di luar tembok’ beri peluang kerana kami yakin mereka telah berubah,” ujarnya.
Ujar beliau, kerjasama strategik di antara Jabatan Penjara dan OUM dimulakan sejak 2009 merupakan program pemulihan insan yang menekankan pendidikan kepada semua peringkat penghuni.
Katanya, wujud sebilangan penghuni yang buta huruf namun mereka tidak dilupakan dan dibantu oleh guru-guru Kementerian Pendidikan melalui program membaca, menulis dan mengira (3M).
Sehubungan itu, beliau menyeru lebih banyak institusi pendidikan tinggi menawarkan peluang pendidikan kepada banduan selain sokongan dalam bentuk kewangan. – MalaysiaGazette