Dr Afif Bahardin

KUALA LUMPUR – Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli perlu meletakkan jawatan dengan segera sekiranya tidak lagi mampu menunaikan amanah yang diberikan, susulan dakwaan beliau mengambil cuti panjang sehingga hujung bulan ini.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr. Afif Bahardin berkata, sekiranya Rafizi terus enggan berundur, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mesti bertindak tegas dengan memecat menteri berkenaan yang gagal menjalankan tugas.

“Rakyat menuntut pemimpin yang bekerja, bukan yang hanya pandai beretorik.

“Cukuplah bermain politik ketika rakyat menanggung derita.

“Negara memerlukan seorang Menteri Ekonomi yang stabil, efektif dan komited sepenuhnya kepada tanggungjawab, bukannya menteri yang menghilang sewaktu berlakunya krisis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rafizi ketika ini didakwa mengambil cuti panjang sehingga hujung bulan ini sehingga menimbulkan pelbagai spekulasi termasuk berhubung pergeseran politik susulan keputusan pemilihan PKR yang sedang berlangsung.

Bagaimanapun, Anwar sebelum ini menegaskan, tindakan Rafizi mengambil cuti itu tidak perlu dijadikan isu dan cuti yang dimohon Ahli Parlimen Pandan berkenaan hanyalah beberapa hari, bukan sehingga hujung bulan seperti dilaporkan media.

Sementara itu, Dr. Afif turut menyifatkan tindakan Rafizi mengambil cuti panjang itu sebagai tindakan tidak bertanggungjawab dan sangat mengecewakan.

Katanya, ia memandangkan tindakan Rafizi itu dibuat ketika rakyat terus dihimpit dengan kos sara hidup yang meningkat, pelabur asing yang semakin ragu-ragu dengan dasar ekonomi negara dan ekonomi global semakin mencabar.

Menurutnya, sebagai Menteri Ekonomi, Rafizi sepatutnya tampil ke hadapan memimpin usaha pemulihan ekonomi, bukan menyepi tanpa penjelasan yang munasabah kepada rakyat.

Lebih memalukan, kata beliau, hanya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahin yang tampil mempertahankan cuti tersebut seolah-olah portfolio sepenting itu boleh ditinggalkan sesuka hati.

“Apakah mesej yang cuba disampaikan kepada rakyat dan pelabur antarabangsa? Bahawa kepimpinan ekonomi negara boleh diremehkan? Bahawa kegagalan dalam pemilihan parti lebih penting daripada kesejahteraan ekonomi negara?” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here