KUALA LUMPUR – Status representasi Datuk Seri Najib Razak untuk menggugurkan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM27 juta dana SRC International Sdn Bhd. akan dimaklumkan kepada Mahkamah Tinggi, Selasa ini.
Bekas Perdana Menteri sudah menunggu keputusan representasi itu selama hampir dua tahun sejak ia dihantar kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) pada Ogos 2023.
Dalam prosiding di hadapan Hakim K. Muniandy pada 10 Mac lalu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Ashrof Adrin Kamarul memaklumkan mahkamah bahawa representasi itu masih belum diputuskan.
Pada 3 Februari 2019, Najib didakwa atas tiga pertuduhan menerima wang berjumlah RM27 juta hasil kegiatan haram menerusi tiga akaun bank AmPrivate Banking miliknya, di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, Jalan Raja Chulan pada 8 Julai 2014.
Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Selain kes SRC, Mahkamah Tinggi yang bersidang di Istana Kehakiman, Putrajaya esok akan menyambung perbicaraan kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MD) melibatkan bekas Perdana Menteri.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah dijangka mendengar keterangan saksi baharu pembelaan selepas bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng Chong Hwa selesai memberi keterangan, minggu lalu.
Dalam keterangan itu, Roger Ng yang juga bekas Ketua Perbankan Pelaburan Goldman Sachs memberitahu mahkamah, beliau tidak dituduh berkonspirasi dengan Najib di mahkamah Amerika Syarikat (AS).
Sebaliknya, dia disabitkan dengan tiga tuduhan konspirasi berkaitan transaksi 1MDB di Mahkamah Persekutuan Brooklyn (Eastern District Court) pada 9 Mac 2023 dan dijatuhkan hukuman 10 tahun penjara oleh Hakim Margo Brodie.
Dalam prosiding itu juga, Roger Ng yang didakwa bersama-sama dengan bekas rakan kongsi Goldman Sachs, Tim Leissner dan ahli perniagaan Low Taek Jho (Jho Low) menafikan berkonspirasi merasuah seseorang dan terbabit dengan aktiviti pengubahan wang haram, pada pembelaannya di mahkamah AS. – MalaysiaGazette