Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menggesa sekatan atau manipulasi terhadap kebebasan media dihentikan hanya kerana tidak digemari atau disukai atas dasar kepentingan sesetengah pihak walaupun yang ditonjolkan adalah demi kebaikan masyarakat.

Menurutnya, keberanian dan kebebasan menyatakan kebenaran dan hak menerusi pelbagai platform media adalah penting dalam memastikan maklumat sebenar tersebar dengan baik.

Ujar beliau, realiti pada zaman segalanya hanya boleh didapati di hujung jari seperti hari ini juga telah menyebabkan kemunculan post-truth untuk memanipulasikan maklumat yang ada.

Keadaan itu, katanya, menyebabkan masyarakat memilih maklumat yang salah itu sebagai sandaran untuk melakukan sesuatu keputusan dan tindakan.

“Lebih buruk lagi, perkara ini membawa kepada perbalahan dan pergaduhan yang mampu memecahbelahkan perpaduan masyarakat. Hentikanlah semua ini,” katanya menerusi laman sosial Facebook sempena Hari Kebebasan Media Sedunia yang disambut semalam.

Sementara itu, Ahmad Samsuri berkata, negara amat memerlukan sistem yang memberi kebebasan media dengan panduan yang baik dan pengamal media yang berintegriti tinggi dan bertanggungjawab penuh untuk menyampaikan kebenaran kepada seluruh rakyat.

Sempena Hari Kebebasan Media Sedunia semalam, kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2025 dilaporkan melonjak 19 anak tangga.

Berdasarkan data yang dikeluarkan Reporters Without Borders (RSF) itu, negara ketika ini berada di tempat ke-88 dalam indeks tersebut berbanding 107 pada tahun sebelumnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here