KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Harapan (AMH) menyifatkan rancangan Pemuda Pas menggerakkan perhimpunan bagi membantah Akta Pembangunan Semula Bandar (PSB) pada 14 Jun ini sebagai cubaan terdesak mengalihkan perhatian daripada krisis dalaman Perikatan Nasional (PN).
Dalam masa sama, Ketuanya, Woo Kah Leong berkata, himpunan itu juga bagi bagi menutup kekalahan memalukan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning apabila rakyat berbilang kaum semakin menolak politik ekstrem dan perpecahan yang dibawa oleh Pas.
Jelas beliau, sekiranya Akta PSB itu benar-benar memudaratkan rakyat seperti didakwa, Pas sepatutnya mengadakan himpunan tersebut sejak awal iaitu ketika akta berkenaan dipaparkan beberapa bulan lalu, bukannya selepas tewas di DUN Ayer Kuning.
“Lebih malang lagi, Pemuda PAS membantah tanpa menawarkan sebarang alternatif.
“Mereka hanya tahu menentang, tetapi tidak mempunyai sebarang pelan konkrit bagi menyelesaikan permasalahan rakyat miskin bandar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, pihaknya akan meneruskan perhimpunan aman bagi membantah Akta PSB pada 14 Jun ini dengan lokasi himpunan disahkan kemudian, namun akan dilakukan di Lembah Klang.
Sementara itu, Kah Leong turut mempersoalkan kredibiliti Pas dalam memperjuangkan tentang keadilan perumahan ketika negeri-negeri di bawah pentadbiran parti tersebut berdepan masalah infrastruktur asas seperti bekalan air.
Sehubungan itu, kata beliau, sekiranya Pemuda Pas benar-benar prihatin terhadap hak rakyat miskin, mereka sepatutnya berhimpun di depan ibu pejabat Pas dan membantah kegagalan kepimpinan mereka sendiri di negeri-negeri yang ditadbir oleh PN.
“Pemuda Pas harus mengkaji dan memahami kandungan sebenar Akta Pembangunan Semula Bandar.
“Bertindak untuk membantah semata-mata demi kepentingan politik sempit hanya membuktikan bahawa Pas disahkan sebagai pembangkang yang paling gagal sekali dalam sejarah Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette