Tangkap layar dari video yang tular

MELAKA – Tular klip video memaparkan seorang lelaki dipercayai YouTuber terkenal menunggang sebuah skuter elektrik yang diubahsuai dan membawa tiga orang di Lebuh Alor Gajah- Melaka Tengah- Jasin (AMJ) berhampiran Bachang, di sini semalam.

Video berdurasi 18 saat yang dimuat naik seorang pengguna TikTok menunjukkan skuter dinaiki ketiga-tiga lelaki itu berhenti di lampu isyarat Lebuh AMJ Bachang sebelum meneruskan perjalanan.

Ketiga-tiga mereka turut dilihat memakai sekadar memakai helmet basikal dan bukannya topi keledar motosikal seperti mana diwajibkan pihak berkuasa terhadap pengguna jalan raya yang lain.

Turut menimbulkan persoalan pengguna media sosial adalah bagaimana kenderaan skuter berkuasa bateri itu boleh bergerak bebas di atas jalan raya utama tanpa dikenakan tindakan pihak berkuasa.

Malah, berdasarkan pemerhatian di ruangan komen mendapati, ada pengguna mendakwa terlihat kenderaan itu sudah berada di Muar, Johor yang jaraknya adalah sejauh 35 kilometer atau 40 minit perjalanan melalui jalan utama Lebuh AMJ.


Turut menimbulkan persoalan pengguna media sosial adalah bagaimana kenderaan skuter berkuasa bateri itu boleh bergerak bebas di atas jalan raya utama tanpa dikenakan tindakan pihak berkuasa.

Sementara Timbalan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Melaka, Khairul Aswad Abdul Halim ketika diminta mengulas perkara itu berkata, perbuatan tiga individu menaiki kenderaan mikromobiliti itu jalan raya awam adalah menyalahi undang-undang.

Khairul Aswad Abdul Halim

“Bukan sahaja melanggar undang-undang, bahkan ia boleh mendatangkan bahaya kepada si pelaku dan pengguna jalan raya yang lain.

“Mereka boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 54(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333] yang mana jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1,000, atau penjara sehingga tiga bulan, atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Tambahnya, melalui Perintah Larangan Kenderaan (Penggunaan Jalan) (Pindaan) 2021 yang telah diwartakan dan berkuat kuasa pada 17 Disember 2021, penggunaan beberapa jenis kenderaan mikromobiliti di atas jalan raya adalah dilarang.

“Ini termasuklah E-skuter, Hoverboard, Monowheel, Segway dan basikal elektrik tanpa kelulusan kerana kenderaan mikromobiliti hanya dibenarkan digunakan di kawasan yang dikhaskan seperti taman rekreasi, laluan khas atau kawasan persendirian sahaja dan bukan di atas jalan awam.

“JPJ memandang serius kesalahan ini dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang ingkar,” tegasnya lagi.

Orang awam disarankan agar sentiasa mematuhi peraturan jalan raya dan tidak menggunakan kenderaan yang dilarang bagi menjamin keselamatan diri dan orang lain. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here