Tiga banduan Penjara Kajang menerima skrol iaitu seorang penerima ijazah Pentadbiran Perniagaan dan 2 penerima Diploma Pengurusan di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 4 MEI 2025

KUALA LUMPUR – Kesuntukan masa menggunakan kemudahan internet ketika dalam tahanan penjara, langsung tidak melunturkan semangat seorang banduan untuk mengulang kaji pelajaran demi memburu segulung ijazah.

Siva, 36, (bukan nama sebenar) berkata, para banduan tidak mempunyai banyak masa mengakses internet untuk menyiapkan tugasan dan kerja khusus yang diberikan, berbanding orang luar.

“Di penjara, masa yang diberikan agak suntuk dan saya terpaksa bergegas menyiapkan tugasan yang diberikan menggunakan komputer yang dibekalkan.

“Keadaan ini berbeza dengan orang lain di luar sana yang mempunyai masa mencukupi untuk mengulang kaji pada bila-bila masa dan belajar seperti biasa.

“Namun demikian, saya mempunyai cukup masa untuk memanfaatkan bahan yang diperoleh sekembalinya ke sel tahanan,” ujarnya ketika ditemui wakil media pada Majlis Konvokesyen Ke-29 Open University Malaysia (OUM) di sini yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam.

Sebahagian graduan yang menerima anugerah Konvokesyen Universiti Terbuka Malaysia di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 4 MEI 2025

Siva yang menerima Ijazah (Pentadbiran Perniagaan) berhasrat untuk mencari pekerjaan apabila dibebaskan kelak dan selanjutnya berjinak-jinak dalam bidang perniagaan.

Ketika ditanya perasaannya, Siva berkata, dia kurang gementar kerana konvokesyen kali ini adalah yang kedua selepas menerima diploma tiga tahun lalu.

Menurut graduan ini, dia yang telah menjalani tempoh tahanan penjara selama 13 tahun berkesempatan melanjutkan pelajaran di peringkat diploma dan ijazah dan sedang menyambung pengajian peringkat sarjana pentadbiran perniagaan (MBA) yang akan selesai tahun depan.

Ujar Siva, pihaknya berterima kasih kepada pengurusan penjara yang menyediakan segala kemudahan dan memberikan kerjasama dan bantuan bagi membolehkan impian menggenggam segulung ijazah tercapai.

“Saya tidak mahu menghabiskan masa di penjara secara sia-sia dan mengambil keputusan untuk melanjutkan pelajaran di peringkat diploma sebelum menyambungnya di peringkat ijazah.

“Saya berharap mendapat pekerjaan yang baik dan memanfaatkan ilmu yang dipelajari untuk menjadi insan yang lebih berguna apabila keluar kelak,” ujarnya.

Siva berkata, seluruh ahli keluarganya melanjutkan pelajaran universiti dan dia pernah belajar di peringkat diploma ketika di luar, namun tidak menghabiskannya.

Ujarnya, keluarga memberi perangsang untuk terus belajar ketika ditahan di penjara dan baki tempoh pemenjaraan selama tiga tahun lagi akan digunakan untuk menghabiskan MBA dan menyambungnya hingga ke peringkat doktor falsafah (PhD). – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here