Danial Al-Rashid
Danial AL-Rashid Haron Aminar Rashid

KUALA LUMPUR – Pemuda Parti Amanah Negara membidas Pas kerana didakwa sengaja mencetuskan ketakutan dan kekeliruan rakyat berhubung cadangan pelaksanaan Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA).

Timbalan Ketuanya, Danial Al-Rashid Haron Aminar Rashid menyifatkan kenyataan Pemuda Pas sebagai tidak berasaskan fakta dan hanya bermotifkan politik sempit.

Sedangkan, URA dirangka bagi melindungi kepentingan pemilik asal hartanah termasuk tanah rizab Melayu.

“URA bukanlah akta tergesa-gesa. Ia sudah dikaji sejak 2012 dan bertujuan mewujudkan pembangunan bandar secara sistematik, adil dan inklusif.

“Malangnya, Pemuda Pas memilih untuk menunggang isu ini bagi menimbulkan keresahan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Menurutnya, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri juga telah memberi jaminan status tanah rizab Melayu tidak akan terjejas,  sekali gus menolak dakwaan kononnya URA membuka laluan kepada pemindahan hak milik kepada bukan bumiputera.

Beliau turut mempersoalkan sumbangan Pemuda Pas dalam menyelesaikan isu sebenar yang membelenggu anak muda di bandar seperti harga rumah yang mahal, projek terbengkalai dan penyelenggaraan kawasan usang.

“Di mana solusi mereka? Tidak ada. Mereka hanya mainkan sentimen perkauman tanpa menawarkan sebarang pelan jangka panjang seperti yang dilakukan menerusi URA,” tegasnya.

Tambahnya, URA adalah langkah penting membuka ruang kepada generasi muda memiliki rumah selesa dan mampu milik di kawasan strategik bandar utama seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Pulau Pinang.

“Pemuda Amanah akan terus berdiri bersama rakyat dan memperjuangkan dasar progresif demi masa depan anak muda Malaysia yang lebih bermaruah,” ujarnya.

Pemuda Pas melalui satu siaran langsung di laman sosial Facebook semalam mendakwa bahawa pelaksanaan URA bakal membuka jalan kepada pemindahan hak milik tanah bumiputera.

Namun, cadangan pelaksanaan URA sebenarnya sedang melalui proses pengumpulan maklum balas daripada pelbagai pihak berkepentingan dan masih belum dimuktamadkan.– MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here