KUALA LUMPUR – Sekali lagi kemalangan langgar lampu merah dipercayai berlaku di lokasi sama hingga meragut nyawa tiga sekawan yang dirempuh sebuah Honda Jazz sebelum ini di Persiaran Senawang 1, Matahari Height, Negeri Sembilan.
Kali ini membabitkan pertembungan sebuah van jenis Toyota Hiace dan sebuah motosikal jenis Y15R hingga mengakibatkan seorang lelaki maut di lokasi kejadian akibat parah, pada tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, kejadian itu berlaku sekitar jam 12.10 tengah malam di lokasi sama dekat persimpangan lampu isyarat Matahari Height menghala ke Paroi.
“Siasatan awal mendapati, van terbabit dipandu seorang lelaki berusia 44 tahun bersama penumpang perempuan berusia 20 tahun sedang bergerak dari arah Senawang menuju ke Bahau.
“Sebaik tiba di lokasi, pemandu van terbabit dipercayai gagal berhenti di lampu isyarat merah dan melanggar motosikal mangsa berusia 20 tahun yang datang dari arah sebelah kiri.
“Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala kedua-dua individu dalam van terbabit tiada kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, mayat mangsa telah dibawa Jabatan Forensik Hospital Rembau bagi mengetahui punca kematian, dan pemandu van terbabit ditahan untuk siasatan lanjut di bawah kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Tiew Chuan Jie di talian 014-9668399 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” ujarnya.
Terdahulu, tular rakaman papan pemuka (dashcam) memaparkan seorang lelaki yang menunggang motosikal telah dirempuh sebuah van sekitar jam 11.55 malam di lokasi terbabit.
Situasi itu sekali lagi mengundang kemarahan orang ramai yang rata-ratanya kecewa kerana punca kemalangan berulang tetap sama, iaitu sikap pentingkan diri dan cuai ketika memandu. – MalaysiaGazette