Bekas ahli Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) menjalani proses pemulihan akidah menerusi Program lnsan Rabbani Tahun 2025M/1446H di S.R.A Bandar Country Homes, Rawang. Foto AIZAT ZAINAL, 4 MEI 2025.

RAWANG – Sebanyak RM300,000 diperuntukkan Tabung Infak Jariah Umat Islam (Tijari) untuk membantu bekas ahli Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) memulakan kehidupan termasuk peluang pekerjaan dan perniagaan.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Datuk Salehuddin Saidin berkata, dana tersebut boleh dimanfaatkan untuk bantuan kewangan bagi memulakan kerjaya baharu selepas selesai proses pemulihan akidah.

Pengerusi Majlis Agama lslam Selangor (MAIS) Senator Datuk Setia Salehuddin Saidin bercakap pada media berkenaan Majlis Ramah Mesra bersama Peserta Program lnsan Rabbani Tahun 2025M/1446H di S.R.A Bandar Country Homes, Rawang. Foto AIZAT ZAINAL, 4 MEI 2025.

“Untuk tujuan kelangsungan hidup bekas ahli GISBH, kita melalui Tijari telah menyediakan peruntukan RM300,000 sebagai bantuan permulaan untuk mereka memulakan kehidupan baharu.

“Kalau tidak pun membantu secara menyeluruh, kita mungkin boleh bantu mereka dengan memberi sedikit kewangan untuk memulakan karier mereka dan mampu mencari pendapatan,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau menyempurnakan Majlis Ramah Mesra bersama peserta Program Insan Rabbani 2025 di Sekolah Rendah Agama (SRA) Bandar Country Homes di sini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad.

Bekas ahli GISBH ketika mengambil sumbangan pada Peserta Program lnsan Rabbani Tahun 2025M/1446H di S.R.A Bandar Country Homes, Rawang. Foto AIZAT ZAINAL, 4 MEI 2025.

Salehuddin juga berkata, sebagai permulaan, pihaknya melalui agensi pekerjaan Zenith Global telah berjaya memadankan peluang pekerjaan kepada lima bekas ahli GISBH di kilang pengeluar roti tempatan, Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd.

“Manakala 11 bekas ahli GISBH pula kita telah berjaya menyediakan tempat untuk memulakan perniagaan mereka,” katanya.

Menurut Salehuddin, pihaknya tidak akan membiarkan bekas ahli GISBH daripada mengganggur dan hilang pekerjaan selain komited untuk memastikan mereka mendapat peluang pekerjaan demi kelangsungan kehidupan dan masa depan.

“Kita buat selangkah demi selangkah, kita tak mampu buat sekali gus, tapi ini bukti kami sentiasa prihatin kepada kebajikan bekas ahli GISBH,” katanya.

Selain itu, katanya, pihaknya tidak berniat untuk menyekat ekonomi mereka sebelum ini, lantaran ajaran dibawa itu menyeleweng daripada akidah sebenarnya hingga menyebabkan jaringan perniagaan terjejas.

Bekas ahli Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) memasuki kelas proses pemulihan akidah menerusi Program lnsan Rabbani Tahun 2025M/1446H di S.R.A Bandar Country Homes, Rawang. Foto AIZAT ZAINAL, 4 MEI 2025.

“Lembaga Zakat Selangor juga bersama-sama memberikan bantuan kepada bekas ahli GISBH yang kini dikategorikan sebagai asnaf Riqab.

“Kita akan bekerjasama dengan pihak syarikat-syarikat terutama di Selangor untuk sama-sama membantu dari segi jaringan pekerjaan kepada mereka.

“Apabila mereka telah menjalani proses pemulihan itu nanti, kita akan bawa pihak swasta untuk sama-sama membantu pihak Mais dan Jais untuk memberikan peluang pekerjaan kepada mereka mengikut kemahiran yang ada pada mereka.

“Insya-Allah kita akan usahakan, kita tak akan biarkan mereka berkeseorangan begitu sahaja,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here