KUANTAN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pahang menyita sebuah bot nelayan bersama lima kru dan tekong warga asing dalam satu operasi penguatkuasaan di perairan Kuala Kuantan, semalam.
Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab berkata, bot tersebut dikesan sekitar pukul 11.00 pagi, kira-kira enam batu nautika dari timur muara Kuala Kuantan, ketika rondaan rutin menerusi Op Makmur dan Op Tiris.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati kesemua lima individu kru warga asing tersebut tidak mempunyai permit kerja yang sah.
“Kesemua mereka merupakan warga Myanmar berumur antara 30 hingga 44 tahun dan gagal mengemukakan permit kerja serta Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang sah,” kata Mazlan dalam kenyataan.
Tambah Mazlan, bot bersama hasil laut seberat kira-kira dua tan metrik serta peralatan menangkap ikan itu telah diiring masuk ke Jeti Pernepa Kuantan Slipway untuk tindakan lanjut.
Kes kini disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63. – MalaysiaGazette