wan ahmad fayhsal lawatan rasmi
Neow Choo Seong

KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong menegaskan adalah mustahil untuk parti itu menyertai DAP kerana kedua-duanya umpama minyak dan air.

Beliau yang juga Pengarah Komunikasi Pemuda Barisan Nasional (BN) berkata, MCA merupakan sebuah parti moderat yang mengamalkan kesederhanaan dan meraikan kepelbagaian, bukan parti ekstrem yang tergamak menggunakan sentimen perkauman semata-mata mahu meraih sokongan.

Secara sinis, tambahnya, MCA juga tidak sanggup menggelarkan penyatuan ummah menerusi kerjasama UMNO-Pas sebagai ‘isyarat perang ke atas bukan Islam atau bukan Melayu’, mahupun menyifatkan ia sebagai ‘negara Taliban’.

Selain itu, ujarnya, MCA juga tidak sanggup untuk mengarang buku propaganda dengan menaikkan imej mahupun mempromosikan ideologi komunis.

“MCA adalah parti yang berjuang bersama UMNO menuntut kemerdekaan negara dan semangat Barisan Nasional yang patriotik kepada Malaysia masih didukung sehingga kini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Choo Seong menjawab saranan Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin supaya MCA dibubarkan dan menyertai DAP sekiranya masih berhasrat memperjuangkan nilai majmuk, keadilan dan kemajuan sejati di negara ini.

Malah, Zhemin turut menyifatkan MCA sudah tidak lagi mewakili masyarakat Cina, justeru kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mencadangkan UMNO dibubarkan dan diserap ke dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebenarnya lebih sesuai ditujukan kepada MCA.

Sementara itu, Choo Seong menyelar kenyataan Zhemin tersebut dan menyifatkan Ahli Parlimen Kampar berkenaan tidak layak untuk membuat ulasan tentang BN kerana DAP bukan parti komponen BN.

Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan sama ada DAP sudah berjaya mengiktiraf sijil UEC atau menunaikan janji pajakan tanah 999 tahun selepas lebih dua tahun menjadi kerajaan susulan dakwaan kononya MCA bukan lagi mewakili masyarakat Cina. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here