KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) mendakwa Pas tiada pilihan, selain memainkan semula naratif perpaduan Melayu untuk bekerjasama dengan UMNO.
Setiausaha Agung Amanah, Faiz Fadzil berkata, pilihan ini selepas Pas dan Perikatan Nasional (PN) dilihat semakin lemah susulan kekalahan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Jelasnya, kekalahan kepada UMNO pada PRK itu juga menunjukkan betapa kuatnya sokongan rakyat termasuk orang Melayu kepada gabungan Kerajaan Perpaduan hari ini.
Ujarnya, kekuatan itu sangat ditakuti Pas dan PN sehingga terpaksa mengalunkan semula agenda perpaduan Melayu.
“Di sini jelas bahawa perpaduan Melayu hanyalah satu alat politik dan ini bukan satu perjuangan yang ikhlas.
“Pas tidak ikhlas untuk berkawan dengan sesiapa kerana sikap mereka yang mudah bercerai dengan rakan koalisi lain.
“Pernah berkawan dengan DAP dan PKR, tetapi bercerai atas alasan RUU355, tetapi sekarang tidak lagi kedengaran suara RUU355.
“Berkawan dengan UMNO atas penyatuan Melayu, tetapi bercerai lagi sekali dengan UMNO. Kini, apa sahaja isu, hanya dikaitkan dengan DAP.
“Namun, berdasarkan sikap Pas ini, tidak mustahil yang Pas boleh berkawan semula dengan DAP,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau hari ini.
Semalam, Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, parti ini sedia menjalinkan kerjasama dengan mana-mana parti politik termasuk boleh bekerjasama dengan UMNO selagi dasar parti terbabit tidak menyalahi dasar Pas yang berpaksikan Islam.
Tambah Afnan Hamimi, pendirian Pas sejak dahulu itu tidak berubah dan sering ditegaskan oleh Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Sementara itu, Faiz berkata, tidak seperti ketika dipimpin bekas Presiden, Allahyarham Datuk Fadzil Mohd Noor, Pas di bawah Abdul Hadi kini meletakkan keuntungan politik sebagai asas muafakat.
Sehubungan itu, katanya, ahli-ahli Pas perlu bersuara dan bertanya kepada pemimpin mereka berkenaan hala tuju parti tersebut ketika ini.
“Pas dakwa nak bawa ahli ke akhirat, tetapi akhirat yang mana jika prinsip perjuangan pun tidak menentu dan flip flop.
“Ternyata permainan Pas ini satu politik dan bukan agama.
“Maka, tiada sebab untuk orang ramai percaya syurga neraka ditentukan PAS.
“Kini masa sudah tiba untuk kita mula persoalkan Pas,” katanya. – MalaysiaGazette