RIYADH – Negara-negara OPEC+ bersetuju untuk menaikkan pengeluaran minyak untuk bulan kedua berturut-turut pada Jun ini dengan 411,000 tong sehari (bpd).
Bulan lalu, lapan negara OPEC+ membuat peningkatan pengeluaran yang lebih besar daripada yang dirancang untuk Mei, juga sebanyak 411,000 bpd.
Harga minyak jatuh lebih satu peratus pada hari Jumaat apabila peniaga bersiap sedia untuk mendapatkan lebih banyak bekalan OPEC+ ekoran kebimbangan kelembapan ekonomi yang disebabkan oleh perang perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China
Kebimbangan itu telah mendorong penganalisis menurunkan jangkaan pertumbuhan permintaan untuk tahun ini.
Peningkatan Jun telah dipersetujui ketika negara-negara OPEC+ mengadakan mesyuarat dalam talian untuk memutuskan pengeluaran.
Lapan negara OPEC+ ialah Arab Saudi, Rusia, Emiriah Arab Bersatu, Iraq, Kuwait, Kazakhstan, Algeria dan Oman.
“Memandangkan asas pasaran semasa sihat, seperti yang dicerminkan dalam inventori minyak yang rendah, dan selaras keputusan yang dipersetujui pada 5 Disember 2024, untuk memulakan pulangan beransur-ansur dan fleksibel bagi pelarasan sukarela 2.2 juta tong sehari bermula dari 1 April 2025.
“Lapan negara yang mengambil bahagian, akan melaksanakan pelarasan pengeluaran 411,000 tong pada Jun 2025 dari Mei 2025 memerlukan tahap pengeluaran ini bersamaan dengan tiga kenaikan bulanan,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.
OPEC+ berkata, langkah ini akan memberi peluang kepada negara yang mengambil bahagian untuk mempercepatkan pampasan mereka.
“Kenaikan secara beransur-ansur mungkin ditangguh atau diterbalikkan tertakluk kepada keadaan pasaran yang berubah. Fleksibiliti ini akan membolehkan kumpulan itu terus menyokong kestabilan pasaran minyak,” kata kenyataan itu.
Kumpulan itu akan bertemu pada 1 Jun untuk memutuskan tahap pengeluaran Julai.
Negara-negara OPEC+ mengulangi komitmen kolektif mereka untuk mencapai pematuhan penuh dengan Deklarasi Kerjasama, termasuk pelarasan pengeluaran sukarela tambahan yang telah dipersetujui untuk dipantau oleh Jawatankuasa Pemantauan Menteri Bersama (JMMC) semasa mesyuarat ke-53 yang diadakan pada 3 April 2024.
Mereka juga mengesahkan hasrat untuk mengimbangi sepenuhnya sebarang volum lebihan pengeluaran sejak Januari 2024. – Agensi