Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung.

KUALA LUMPUR – Keputusan kerajaan melanjutkan pengecualian visa selama 90 hari kepada warga China diharap tidak menjejaskan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan.

Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung mengakui insentif yang diberikan kerajaan berpotensi merancakkan sektor pelancongan dan pelaburan.

Tetapi dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu, ia boleh membuka pintu kepada kebanjiran peniaga asing yang mengambil kesempatan menjalankan perniagaan jangka pendek tanpa pematuhan undang-undang.

“Tempoh 90 hari sudah cukup untuk seseorang memulakan operasi kecil-kecilan, menembusi pasaran tempatan dengan harga rendah dan seterusnya mencetuskan persaingan tidak sihat.

“Malah, terdapat pasukan fotografi dari luar negara yang kini menawarkan pakej perkahwinan serendah RM299, jauh lebih murah berbanding kadar pasaran tempatan dan memberi tekanan besar kepada pemain industri dalam negara,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Oleh itu, tegasnya, perlunya kerajaan memperkenalkan visa perniagaan khas yang lebih terkawal serta memastikan setiap peniaga asing tertakluk kepada sistem percukaian dan peraturan tempatan.

Chean Chung juga menggesa syarat penubuhan perniagaan oleh warga asing diperketat, termasuk penetapan pelaburan minimum serta keperluan bekerjasama dengan syarikat tempatan bagi mengelak amalan ‘dumping’ dan melindungi ekosistem perniagaan dalam negara.

“Saya ingin menekankan betapa pentingnya bantuan lebih menyeluruh kepada PKS tempatan dalam bentuk geran, latihan dan sokongan pembukaan pasaran agar mereka kekal berdaya saing dalam landskap yang semakin mencabar ini.

“Kerjasama Malaysia-China perlu dibina atas asas manfaat bersama dan kepatuhan undang-undang, bukan mengorbankan kelangsungan PKS tempatan. Kita sambut pelabur dan pelancong, tapi jangan sampai peniaga kita sendiri menjadi mangsa,” tambahnya.

Dalam masa yang sama, beliau turut menyeru kerajaan memperhebat pemantauan terhadap aktiviti perniagaan warga asing di platform digital seperti WeChat, TikTok Shop dan Shopee Live, dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia  serta Lmbaga Hasil Dalam Negeri.

Mana-mana individu yang menjalankan perniagaan dalam talian tanpa pendaftaran sah atau nombor cukai, perlu disekat daripada terus beroperasi, ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here