Logo Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) di SUHAKAM, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 18 FEBRUARI 2020

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menggesa kerajaan memperkenalkan Akta Keharmonian Nasional iaitu satu kerangka perundangan khusus bertujuan memupuk rasa saling menghormati, mempromosikan inklusiviti dan melindungi semua komuniti daripada ucapan kebencian, hasutan dan diskriminasi.

Dalam satu kenyataan, Suhakam turut menyeru semua pihak berkepentingan untuk terus terlibat dalam dialog yang membina, melaksanakan reformasi pendidikan dan dasar, serta memupuk empati dan persefahaman antara komuniti.

Jelasnya, menerusi pendekatan itu, semua pihak dapat membina asas untuk Malaysia yang lebih adil, saksama dan bersatu.

“Suhakam berpegang teguh pada pendirian bahawa perkauman dalam apa jua bentuk sama ada institusi, budaya atau antara individu – tidak mempunyai tempat dalam Malaysia moden.

“Diskriminasi kaum menyebabkan ketidaksamaan, kebencian dan perpecahan.

“Ia menjejaskan maruah individu dan komuniti serta merosakkan asas sosial yang menyatukan negara kita,” katanya dalam kenyataan semalam.

Kenyataan itu merujuk kepada laporan oleh Pusat KOMAS sempena Hari Antarabangsa bagi Penghapusan Diskriminasi Kaum bulan lalu, yang menyeru tindakan segera diambil bagi menghapuskan masalah perkauman dan diskriminasi kaum di Malaysia.

Ia selepas Pusat KOMAS menerusi tinjauan Malaysia Racism Report 2024 dan “Malaysia Racism Report: A Decade in Review (2015-2024)” mendapati, politik perkauman di negara ini kekal berleluasa dengan menyemarakkan perpecahan dan kebencian antara kaum.

Sementara itu, Suhakam menyifatkan laporan oleh Pusat KOMAS tersebut merupakan peringatan dan seruan kepada tindakan segera oleh semua rakyat Malaysia supaya bersatu dalam menangani isu perkauman dan diskriminasi yang berlarutan.

Menurutnya, asas kepelbagaian budaya dan agama yang membina Malaysia bukanlah satu kelemahan, sebaliknya kekuatan yang mesti dipupuk melalui persefahaman, saling menghormati dan komitmen bersama terhadap kesaksamaan.

“Keharmonian kaum bukan sekadar aspirasi nasional, tetapi merupakan asas penting bagi perpaduan negara, pembangunan mampan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Tambahnya, kemajuan negara menuntut komitmen berterusan daripada semua sektor masyarakat sama ada kerajaan, masyarakat sivil, pemimpin politik, pengamal media, pendidik dan rakyat biasa.

“Setiap orang mempunyai peranan untuk menolak ucapan kebencian dan retorik yang memecahbelahkan.

“Setiap orang mempunyai peranan untuk menegakkan nilai inklusif dan mempromosikan dasar yang meningkatkan kesaksamaan dan keadilan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here