KUALA LUMPUR – Sepasang kekasih berjaya diberkas pihak polis selepas disyaki mencuri barang kemas bernilai RM111,743.55 di sebuah kedai emas sekitar ibu negara, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pasangan berusia 25 dan 23 tahun itu ditahan di sekitar Bandar Puncak Alam, Kuala Selangor kira-kira jam 3.20 petang, Jumaat lalu.
Menurutnya, polis turut berjaya menemui semula barang kemas yang dipercayai dicuri suspek.
“Siasatan mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah dan ujian saringan awal mendapati mereka negatif dadah.
“Pasangan terbabit kini direman sehingga esok bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sebelum ini media melaporkan polis sedang mengesan dua individu tempatan yang disyaki terlibat dalam kejadian kecurian di sebuah kedai emas, pada 28 April llau.
Terdahulu, tular satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi dua minit 26 saat di laman sosial TikTok yang menunjukkan seorang lelaki dan wanita mencuri rantai tangan serta cincin emas di sebuah kedai emas. – MalaysiaGazette