Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig yang sudah dimuktamadkan dan akan dibentangkan di Dewan Rakyat, Julai ini harus menjadi lebih daripada sekadar satu bentuk perlindungan kepada pekerjanya.

Sebaliknya, Ketua Aktivis Gabungan eHailing Malaysia (GEM), Jose Rizal berkata, akta itu mesti menjadi asas ke arah pemerkasaan, pemilikan dan pengiktirafan sebenar terhadap pekerja gig sebagai tenaga kerja strategik dalam pembangunan negara.

Jelas beliau, antara isu mustahak yang perlu ditangani adalah aspek keselamatan pekerja gig yang berdepan risiko setiap hari dan perlu dilindungi dengan insurans, latihan keselamatan dan sokongan kesihatan mental.

Jose Rizal

Selain itu, katanya, akta itu juga perlu memastikan kelangsungan dan kestabilan kerja yang mana akaun pekerja tidak boleh digantung atau ditamatkan sewenang-wenangnya oleh syarikat platform, dengan hak untuk penjelasan dan rayuan harus dijamin.

Dalam masa sama, tambahnya, pekerja gig juga perlu dipastikan mendapat pendapatan yang saksama dan telus dengan struktur pendapatan, komisen dan insentif mesti diperjelaskan serta dipantau supaya tidak bersifat menindas.

“Selain itu, para pekerja ekonomi gig perlu disediakan akses kepada perlindungan sosial automatik dengan caruman PERKESO dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau skim khas setara perlu diwajibkan dan dikongsi antara pekerja, platform, dan kerajaan.

“Mereka juga perlu diberi peluang untuk meningkatkan kemahiran serta laluan kerjaya mesti tersedia supaya tidak terperangkap dalam kitaran kerja yang tidak berkembang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim memaklumkan, kerajaan bersetuju membentangkan RUU Pekerja Gig bagi meningkatkan perlindungan serta menyelesaikan isu kebajikan membabitkan golongan berkenaan pada sesi Parlimen akan datang.

Menurut Steven, draf RUU yang sudah siap sedia untuk dibentang itu dibuat selepas sesi libat urus diadakan dengan lebih 3,000 pekerja.

Sementara itu, Jose berkata, pihaknya tidak mahu industri gig berkembang dengan keuntungan hanya dikaut oleh syarikat platform antarabangsa atau pelabur elit, sementara pekerja tempatan kekal dalam kemiskinan pekerjaan.

Tegas beliau, pembahagian hasil yang saksama mesti dijamin melalui perkongsian hasil yang adil antara platform dan pekerja, selain pulangan pelaburan kepada pekerja melalui pegangan ekuiti dan insentif khas yang mencerminkan sumbangan sebenar tenaga kerja.

“Ini penting bukan sahaja dari sudut keadilan, tetapi juga untuk menjamin kelestarian jangka panjang industri itu sendiri,” katanya.

Sehubungan itu, tambahnya, akta pekerja gig itu jika dilakukan dengan betul bukan sahaja memberi kelegaan kepada jutaan pekerjanya, tetapi juga menjadi contoh global bahawa Malaysia mampu membangunkan ekonomi digital yang berakar pada nilai kemanusiaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here