Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming

KUANTAN – Rang Undang-Undang (RUU) Akta Perkhidmatan Bomba (Pindaan) 2025 yang diluluskan di Dewan Negara pada 23 Mac lalu kini menunggu perkenan Yang di-Pertuan Agong sebelum dapat diwarta dan dikuatkuasakan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming berkata, pindaan tersebut amat signifikan dalam memperkemas aspek pengurusan pasukan bomba seperti pasukan bomba sukarela, kadet bomba, bomba persendirian serta perunding dan firma perunding keselamatan kebakaran.

“RUU ini kini diserahkan untuk diperkenan oleh Yang Di-Pertuan Agong sebelum ia diwartakan dalam Warta Kerajaan dan dapat dikuatkuasakan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari Bomba Sedunia 2025 bertemakan ‘Bomba Tonggak Penyelamatan Negara’ yang berlangsung di Padang MBK 1 di sini, hari ini.

Majlis sambutan itu diserikan dengan keberangkatan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang turut berkenan merasmikan acara terbabit.

Turut berangkat, Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Dalam pada itu, Kor Ming memaklumkan KPKT telah memperuntukkan sebanyak RM203.45 juta bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan kebombaan di negeri Pahang.

“Antara projek yang akan dilaksanakan termasuk kerja ubah suai dan pembinaan semula Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuantan, menaik taraf BBP Bentong serta pembinaan BBP baharu di Sungai Lembing, Benta dan Gohtong Jaya.

“Pembinaan kuarters anggota bomba turut dilaksanakan menerusi kerjasama dengan Genting Malaysia Berhad, manakala kerja awalan perolehan tanah bagi BBP Pulau Tioman turut dimulakan,” katanya.

Kor Ming turut merakamkan penghargaan kepada pengorbanan dan keberanian anggota bomba yang sentiasa bertugas tanpa mengira masa demi keselamatan rakyat dan negara.

Beliau turut menzahirkan rasa bangga terhadap tindakan pantas anggota bomba dalam insiden kebakaran saluran gas di Putra Heights pada pagi Syawal lalu.

Sambutan tersebut dimeriahkan dengan perarakan melibatkan 34 kontinjen dan 50 jentera JBPM serta lebih 1,500 anggota melibatkan JBPM, pasukan bomba sukarela, Bomba Pelabuhan Kuantan, Bomba Tentera Udara Diraja Malaysia serta pasukan industri seperti Petronas Petrochemical & Fire Services Response (CEFS). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here